Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (kiri) bersama Pengerusi Seruhanjaya Pilihan Raya, Seri Mohd Hashim Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media Khas Bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2018.

PUTRAJAYA –  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang senarai calon daripada mana-mana parti politik pembangkang untuk proses penyaringan PRU-14.

Setakat ini ia hanya menerima dan membuat saringan senarai calon PRU daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad berkata, senarai calon yang disaring keputusannya telah dikembalikan semula kepada parti politik itu untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini kita hanya menerima senarai calon untuk proses saringan daripada BN dan ia telah dilakukan serta dikembalikan kepada parti itu.

“Tidak terima senarai saringan daripada mana-mana parti pembangkang setakat ini, seperti saya cakap tadi hanya BN telah dilakukan saringan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Zulkifli berkata demikian dalam sidang media bersama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah selepas pelancaran Pusat Bilik Gerakan 24 jam PRU-14 di pejabat itu.

“Proses itu kita amalkan pada setiap pilihan raya yang mana menyaksikan parti politik tampil ke hadapan menyerahkan saringan calon mereka kepada SPRM dan kali ini seperti biasa saya tidak menolak kemungkinan akan menerima senarai calon untuk saringan dari parti politik selepas ini,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada mana-mana calon ditolak semasa proses saringan itu, Zulkifli berkata, tugas SPRM hanya membuat saringan dan menyerahkan keputusannya kepada parti politik berkaitan.

“Itu bukan tugas dan tanggungjawab kami, tugas kita buat saringan calon dan hantar keputusan sahaja,” tegas Zulkifli.- MalaysiaGazette