FGV
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) mengumumkan penambahbaikan ke atas Dasar Tiada Penebangan Hutan, Tiada Gambut dan Tiada Eksploitasi (NDPE) dalam kumpulan berkuatkuasa semalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad berkata, FGV mengambil usaha kelestarian secara serius demi memenuhi keperluan semua pemegang taruh iaitu alam sekitar, pekerja, perniagaan dan masyarakat setempat.

Katanya, FGV berazam untuk memulihkan semula tanah-tanah gambut yang telah dibangunkan selama ini sejajar dengan Dasar Kelestarian 2017 tanpa menyebabkan konflik sosial.

“Berkenaan PT Temila Agro Abadi (PT TAA), kami telah menyerahkan butiran Pelan Pemulihan Tanah Gambut bagi mendapat kelulusan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia.

“Apabila dilaksanakan, paras air akan dikekalkan pada paras yang sesuai untuk memulihkan fungsi ekosistem tanah gambut.

“Kami juga membangunkan satu Pelan Induk Pengurusan Tanah Gambut dengan hasrat untuk memulihkan kawasan terjejas. Pelaksanaan pelan induk tersebut akan dibuat selepas mengadakan rundingan dengan para pemegang taruh terutamanya masyarakat setempat yang akan menerima kesan daripada keputusan yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

FGV juga menggunakan Pendekatan Stok Tinggi Karbon (HCSA) di kawasan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan.

Selain itu, FGV juga mengambil berat mengenai isu bayaran pengambalin pekerja dan mengikut semua amalan pengambilan pekerja bertanggung jawab.

FGV juga katanya bertanggungjawab di dalam menjunjung hak dan kebajikan para pekerja.

“FGV komited untuk memulangkan pasport kesemua pekerja asingnya dan kini syarikat tersebut sedang membina peti simpanan keselamatan yang mudah diakses di setiap estet kami,” katanya. – MalaysiaGazette