Iskandar A. Samad

KUALA LUMPUR – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dijangka menimbulkan konflik kepada Pakatan Harapan (PH).

Itu kata Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad yang mengulas mengenai kemasukan ADUN itu yang juga merupakan rakan rapat beliau ketika dalam Pas.

“Jika bekas ADUN Paya Jaras itu dicalonkan semula maka Amanah akan kehilangan kerusi tersebut.

“Ini bermakna calon Parti Amanah Negara (PAN) yang bercita-cita untuk bertanding di situ akan kecewa. Krisis akan tercetus dan boleh merebak ke tempat-tempat lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ditanya samada beliau ralat dengan tindakan Khairuddin, Iskandar berkata: “Hidup mesti diteruskan,”.

Khairuddin sebelum ini dilucutkan jawatan daripada barisan Jawatankuasa Perhubungan Pas Selangor kerana dasar ‘mesra’ beliau dengan kepimpinan negeri itu.

Dedah beliau, dasar Pas Selangor kini sudah berubah selepas parti itu memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat nasional.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, Pas yakin dapat terus kekal di Paya Jaras kerana kesan terhadap parti itu adalah minimal.

“Ia tidak akan memberi kesan yang besar kepada Pas di kawasan-kawasan lain di Selangor. Jentera Pas di kawasan-kawasan bergerak seperti biasa.

“Walau bagaimanapun sebagai Naib Presiden yang ditugaskan untuk memantau negeri Selangor saya akan meminta Pas Selangor mengemukakan satu laporan lengkap tentang kemasukan ADUN Paya Jaras ke dalam PKR,” katanya. – MalaysiaGazette