Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Satu Anggota Satu Rumah (SASar) SATRIA Residensi Kem Transmitter, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – “Apa yang diumum tak jadi isu?” seloroh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai respon kepada pertikaian yang dibuat oleh pembangkang berhubung tarikh buang undi yang jatuh pada 9 Mei bersamaan dengan hari Rabu.

Katanya, tiada apa yang boleh dibuat oleh parti pembangkang selain membangkitkan isu dan mengaitkannya dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekalipun parti itu tidak mempunyai kaitan dengan keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Apa lagi dia boleh buat? Apa benda yang diumum tidak akan jadi isu?

“Manifesto jadi isu, tarikh bubar Parlimen jadi isu, tarikh buang undi jadi isu, yang menentukannya SPR,” ringkas katanya.

Beliau berkata demikian selaps majlis perasmian Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Transmitter Sungai Besi hari ini.

Pas terus membidas SPR sejurus selepas pengumuman penetapan 28 April sebagai hari penamaan calon diikuti kempen selama 11 hari dan pengundian awal pada 5 Mei manakala hari mengundi adalah 9 Mei.

Selain itu Pakatan Harapan turut mempertikaikan, menerusi Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pemilihan tarikh pembuangan undi sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei iaitu hari bekerja adalah amalan tidak demokratik walaupun semasa menjadi Perdana Menteri tiga kali pilihan raya jatuh pada hari bekerja. – MalaysiaGazette