Home Ekonomi Pelabur asing yakin ekonomi negara kukuh – PM

Pelabur asing yakin ekonomi negara kukuh – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Datuk Mohd Sallehuddin (kanan) beramah mesra bersama sebahagian penggiat seni yang hadir pada Majlis Perasmian Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2017.

LANGKAWI –  Kedudukan ekonomi negara yang kukuh memberi keyakinan kepada luar untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pengukuhan ekonomi itu adalah hasil daripada usaha dan insiatif kerajaan selama ini.

Perdana Menteri berkata, banyak kejayaan berjaya dikecapi menerusi Program Transformasi Nasional diperkenal kerajaan yang mana pendapatan kasar negara meningkat hampir 50 peratus dan berjaya mencipta sebanyak 2.7 juta peluang pekerjaan.

“Ini menunjukkan para peniaga antarabangsa mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ekonomi Malaysia dan ia adalah yang sebaiknya,” kata beliau semasa merasmikan Hotel Ritz Carlton di Pantai Kok.

Sambil memberi contoh, Najib menyenaraikan beberapa pelaburan besar yang masuk ke Malaysia, antaranya dari Groupe PSA yang merupakan firma pengeluaran kereta kedua terbesar di Eropah.

PSA membentuk pakatan strategik bersama Kumpulan Naza bagi membangunkan hab pengeluaran pertama pengeluaran kereta jenama Peugeot dan Citroen bagi pasaran ASEAN.

Usaha kerajaan juga katanya, mendapat pengiktirafan dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat yang menyenaraikan Malaysia sebagai negara terbaik untuk pelaburan menerusi kajiannya tahun lalu.

“Kita mempunyai perancangan, rancangan ekonomi yang besar, yang mana kita sudah laksanakan… kita mencari lebih banyak pelaburan untuk dibawa ke sini,” ujarnya lagi.

Najib juga yakin hasrat kerajaan untuk terus memastikan Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi akan tetap direalisasikan. – MalaysiaGazette