Ahmad Dusuki Abd Rani

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani kembali dibenar memberikan kuliah di negeri Selangor oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Surat berkenaan menyebut Dusuki dibenarkan untuk kembali mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai agama Islam di Selangor seperti yang ditetapkan bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran agama Islam 2003 pindaan 2015.

Namun surat bertarikh 12 April itu turut memberikan syarat bahawa beliau diingatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh membawa kepada ‘taasub’ dan kebencian secara langsung atau tidak langsung yang melibatkan umat Islam.

“Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor yang bersidang pada 10 April telah memutuskan bahawa tuan (Ahmad Dusuki) dibenarkan untuk terus memegang tauliah mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai agama Islam di dalam negeri Selangor.

“Bagaimanapun tuan adalah diingatkan agar sentiasa mengelakkan diri dari membuat sebarang pengataan yang boleh membawa kepada ‘taasub’ dan ‘kebencian’ secara langsung atau tidak langsung melibatkan sesama umat Islam seperti dinyatakan di Para 17 (c), (d) dan Para 23 Peraturan-peratuan tauliah negeri Selangor 2008,” menurut surat itu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Mais Mohd Shahzihan Ahmad.

Sebelum ini, Shahzihan pada 21 Mac lalu mengemukakan surat kepada Dusuki yang menggantung pentauliahan kuliah beliau.

Malah satu siasatan telah dijalankan oleh badan itu mengenai aduan dan laporan media berhubung kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri selangor) Tahun 2008 Pindaan 2015. -MalaysiaGazette