Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bergambar dengan penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di MAEPS, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2018.

SERDANG – Perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia seperti teksi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Ujarnya, jemaah menteri sepakat memutuskan kawalan tersebut meliputi saringan latar belakang, kesalahan trafik dan pemeriksaan kenderaan secara berkala yang akan diwajibkan kepada perkhidmatan tersebut.

“Selaras dengan perkembangan terbaru, Kabinet telah memutuskan untuk menguatkuasakan dasar mengawalselia perkhidmatan e-hailing dijalankan dalam suku kedua tahun 2018,” ujar beliau. 

Jelasnya, perkara itu diputuskan kerajaan untuk menyelaraskan penguatkuasaan terhadap industri teksi, kereta sewa dan pengamal perkhidmatan e-hailing seperti Grab. 

“Objektif kita adalah supaya wujud medan persaingan yang sama rata di mana semua pengamal perkhidmatan teksi, kereta sewa dan pemandu e-hailing perlu melalui syarat dan peraturan yang sama dan sekata,” katanya. 

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dua akta bagi mengesahkan perkhidmatan e-hailing akan diwartakan pada suku kedua tahun ini membabitkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2017 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 2017 yang telah diluluskan Parlimen pada Julai tahun lepas. -MalaysiaGazette