Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengibarkan bendera Barisan Nasional bersama Mahasiswa yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Mahasiswa BN di Dataran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Mahasiswa perlu memastikan Barisan Nasional kekal mentadbir negara demi kelestarian kehidupan rakyat dan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka telah membuat pilihan tepat demi masa depan yang terjamin dan selamat.

“Anda sudah sedar bahawa BN lah yang akan menentukan masa depan anak-anak ke arah kejayaan.

“Maka anda harus terus menggemleng tenaga berbekalkan maklumat untuk menggempur dan menidakkan muslihat pembangkang untuk meyakinkan anak muda dan rakyat bersama BN secara berterusan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa melancarkan Himpunan 2,000 penyokong tegar Jentera Siswa BN PRU14 di dataran Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, BN menyedari naluri dan kehendak pemuda dan mahasiswa di negara ini.

“TN50 diketengahkan untuk anda semua, bukan untuk kami.

“Pemindaan Akta Universiti Kolej Universiti oleh Najib pada 2009 membuka platform kepada anda semua mendekatkan diri dengan rakyat.

“Anak-anak perlu bantu BN zahirkan hasrat dan aspirasi yang dirangka oleh kerajaan untuk menjamin mandat pada kali ini.

“Pertama kita dengar nasihat-nasihat pemimpin semasa berkempen di setiap kawasan mengikut tatasusila dan tatatertib semasa berkempen di setiap kawasan,” katanya. – MalaysiaGazette