Home Utama Tun M individu paling dikagumi di Malaysia

Tun M individu paling dikagumi di Malaysia

Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad antara empat figura lelaki negara yang dinobatkan sebagai individu paling dikagumi di Malaysia pada tahun ini, menurut tinjauan oleh YouGov.

Bekas perdana menteri itu mendapat 15 peratus skor mengatasi populariti pemimpin-pemimpin politik negara lain Barack Obama (5.4 peratus), Recep Tayyip Erdogan (4.0 peratus), Xi Jinping (1.90 peratus), Vladimir Putin (1.30 peratus) dan Donald Trump (0.90 peratus) dan Narendra Modi (0.50 peratus).

Di peringkat global pula, antara individu yang berada pada senarai teratas ialah Bill Gates, Jackie Chan, Christiano Ronaldo, David Beckham, Tom Cruise, Andy Lau, Lionel Messi dan Warren Buffet.

Tiga individu Malaysia yang termasuk dalam senarai itu ialah pengasas syarikat penerbangan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di tempat keempat dengan 7.10 peratus, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kedudukan kelapan (5.30 peratus) dan Datuk Seri Najib Razak (2.50 peratus) di tempat ke-15.

Sementara itu, penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula merupakan wanita yang paling dikagumi di Malaysia dengan skor 14.10 peratus, diikuti Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (10.10 peratus).

Pelakon Neelofa pula yang berada di tempat ketiga dengan skor sebanyak 7.40 peratus dan Michelle Yeoh, aktres antarabangsa kelahiran Malaysia pula mendapat 5.70 peratus.

Lain-lain individu yang termasuk dalam senarai YouGov 2018 adalah usahawan dan pengasas bersama FashionValet, Vivy Yusof dengan 3.10 peratus manakala pelakon, Fazura (2.40 peratus)1 dan Datin Seri Rosmah Mansor (1 peratus). – MalaysiaGazette