Faiz Fadzil

PULAU PINANG – Parti Amanah Rakyat (Amanah) dilihat masih perlu bergantung kepada pengaruh Pas apabila menamakan anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Muhammad Faiz Fadzil yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah dicalonkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Dengan pengumuman itu, DUN Permatang Pasir setakat ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas Pas sebelum ini telah mengesahkan akan mempertahankan satu-satunya kerusi dimenangi parti tersebut di negeri ini.

Bagaimanapun,  Pas tidak akan mencalonkan semula bekas ADUN mereka iaitu Datuk Mohd. Salleh Man malah kedudukan Mohd. Salleh ketika ini juga masih menjadi tanda tanya sama ada kekal bersama Pas atau memilih menyertai Pakatan Harapan.

Pengumuman pencalonan Muhammad Faiz itu dibuat Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dalam ceramah parti itu di Taman Desa Murni, Sungai Dua di sini malam tadi.

Pada majlis sama, Mujahid turut mengumumkan tiga lagi calon parti itu di negeri ini iaitu peguam, Yusri Ishak yang akan bertanding di DUN Sungai Dua dan Azrul Mahathir Aziz di DUN Bayan Lepas.

Sementara itu, Dr. Zaidi Zakaria pula diumumkan bertanding kerusi Parlimen Kepala Batas sekali gus menafikan desas-desus Mujahid sendiri akan bertanding di kerusi berkenaan.

Dalam pengumuman pembahagian kerusi Pakatan Harapan baru-baru ini, Amanah diberikan satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN untuk ditandingi di negeri ini.

Kesemua kerusi itu bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru selepas BN dan Pas turut mengesahkan akan bertanding di kesemua kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.