Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga kiri) diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua kiri) menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Al Aqsa kepada Iman Besar Masjid Al Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Sa’eed Sabri (tiga kanan) pada Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Abidin, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – Imam Besar Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Saed Sabri menghargai usaha kerajaan Malaysia dalam menyuarakan nada tegas terhadap penaklukan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Ujarnya, Palestin amat menghargai usaha Malaysia yang sentiasa bersama rakyatnya sejak peristiwa hitam itu berlaku kepada mereka.

“Saya menghargai kerajaan Malaysia kerana sentiasa bersama rakyat Palestin sejak daripada dulu lagi. Malaysia sentiasa membantu Palestin dan negara Islam yang sentiasa prihatin dengan negara kami.

“Palestin menyatukan seluruh umat Islam seluruh dunia, dengan sambutan Israk Mikraj ini mengingatkan kita bahawa sehingga pada hari ini Al-Aqsa masih dijajah Israel. Ia berada dalam ancaman zionis,” katanya dalam ucapan majlis sambutan Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan 1439H / 2018M yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sheikh Dr Ekrima Saed Sabri hari ini diangkat menerima Anugerah Tokoh Al-Aqsa yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga mantan Mutfi Palestin turut meminta umat Islam seluruh dunia untuk bersama-sama untuk membela isu Palestin taktala terus menerima cengkaman Zionis.

“Bila kita sebut Al-Aqsa dan Palestin ia adalah dua perkataan yang tidak boleh dipisahkan sebaliknya ianya adalah satu perkataan yang sebati antara satu sama lain.

“Bagi kami meraikan Israk Mikraj kerana ia satu perkata penting kerana isu Palestin dan Israk Mikraj adalah satu perkara yang tidak boleh dipisahkan. Mengingati Israk Mikraj adalah mengingati Al-Aqsa yang dijajah Zionis hari ini,” katanya lagi.

Masjid Al-Aqsa yang terletak di Kota Lama, Baitulmuqaddis diduduki secara haram oleh Israel melalui penaklukan pada tahun 1967. -MalaysiaGazette