Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Negeri Pulau Pinang di Hotel Light, Seberang Jaya, Pulau Pinang. foto FAREEZ FADZIL, 15 APRIL 2018

SEBERANG JAYA –  Rata-rata pengundi dalam kalangan masyarakat Melayu dan India di Pulau Pinang sudah celik dan bosan dengan ‘permainan’ serta lakonan oleh kerajaan DAP selama hampir 10 tahun memerintah.

Pengerusi Barisan Nasional Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, maklum balas yang diterima oleh BN setakat ini, kebanyakan mereka sudah bosan dengan kerenah DAP.

Jelasnya, kebanyakan pengundi India sudah membuat keputusan siapakah sebenarnya yang telah berjasa dalam menjaga dan memperjuangkan nasib kaum itu selama ini, bukan sahaja di Pulau Pinang sebaliknya seluruh negara.

“Masyarakat India sebenarnya saya pasti sudah buat keputusan. Memang sehingga penamaan calon, kita tidak pasti kerana apa sahaja boleh terjadi tetapi saya jangka pengundi India tahu siapakah yang banyak membantu mereka selama ini.

“Mereka juga tahu siapakah yang sebenarnya selama ini telah memperjuangkan nasib mereka tidak kira apa juga lapangan. Pada hemat saya, pengundi ini sudah celik dan tahu siapa yang akan di pilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

“Begitu juga dengan pengundi Melayu. Mereka tahu kepentingan bumiputera yang juga menjadi laungan Tun Mahathir sebenarnya mungkin retorik semata-mata. Kita dapat jangkakan perubahan dari golongan ini pada PRU depan,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika di temui hari ini.

Chang Yeow  menambah, dalam tempoh 10 tahun memerintah, begitu banyak pembohongan, janji kosong dan putar belit telah dilakukan oleh kerajaan DAP dan sekutunya.

“Apa perubahan yang telah dibawa oleh DAP selain daripada kemusnahan nyata di negeri ini. Rakyat juga bukan tidak nampak malah ramai juga daripada kebiasaan telah tampil mengkritik termasuk ahli parti itu sendiri.

“Seperti biasa, ramai yang dipecat atau diambil tindakan tertentu. Rakyat biasa pula hanya mampu memandang dan menunjukan kuasa mereka pada PRU nanti. Bayangkan 51 janji tidak tertunai selama 10 tahun memerintah.

“Buat apa janji kosong apabila tahu tidak boleh tunaikannya?

“Mengapa pula bila nak menang Pulau Pinang semua janji boleh dibuat tetapi apabila bab hendak melaksanakannya tukar cerita kononnya perlu pegang kuasa mutlak dari Putrajaya? Mengapa tidak tunaikan apa yang mampu?

“Tidak cukup dengan itu, banyak lagi janji ditabur selepas ambil kuasa di Pulau Pinang tetapi semua itu bukan sahaja tidak tertunai malah ada juga yang terbatal separuh jalan atau langsung tiada apa-apa. Cukuplah, henti perbodohkan rakyat,” tegasnya.-MalaysiaGazette