Thursday, April 25, 2024
Home Ekonomi Proton terima 170 permohonan naik taraf

Proton terima 170 permohonan naik taraf

Proton

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) menerima 170 permohonan untuk menaik taraf pusat 3S/4S dalam kalangan peniaga sedia ada dan pelabur baharu dalam tempoh tiga bulan, dengan 66 permohonan dinilai dan diluluskan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, proses menaik taraf itu merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi memastikan kejayaan sinergi, susulan pengambilalihan 49.9 peratus sahammnya oleh Zhejiang Geely Holdings Group (Geely), China.

“Lebih banyak inisiatif dijangkakan tahun ini ketika Proton bersiap sedia untuk membina kereta yang sepadan kualiti pengeluar kereta  premium,” katanya.

Sementara itu, bagi April, Proton berkata, ia menawarkan pembiayaan sifar peratus kepada pembeli kereta kali pertama bagi model Proton Iriz (varian Eksekutif dan Premium), Proton Ertiga (semua varian) dan Proton Exora (semua varian), yang mengambil pinjaman untuk tempoh lima tahun dengan  Hong Leong Bank.

Bagi pembelian Proton Saga dan Persona (hanya Premium CVT), pembeli akan menerima body kit percuma bagi tempahan yang dibuat sepanjang April.

Selain itu, rebat juga diberikan ke atas model lain Proton selain insentif menarik ke atas baki stok kereta yang dikeluarkan pada 2017. – MalaysiaGazette