Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Mahathir Mohamad (kanan) bercakap pada sidang media khas Pakatan Harapan di Galeri PPBM Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2018.

PETALING JAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menasihatkannya agar tidak lagi menceburi bidang politik.

Menurutnya, Abdul Hadi hanya layak menjadi ustaz yang mengajar agama di kampung.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Abdul Hadi perlu kembali ke sekolah untuk belajar agama dan bukan ‘mengkafirkan’ orang tanpa merujuk kepada ajaran al-Quran.

“Tapi dalam bidang politik dia tak tahu apa-apa pun. Jauh sekali dalam bidang pentadbiran, bila dia dapat Terengganu, dia tadbir, apa jadi dengan Terengganu?

“Sebab itu saya nasihat Hadi, tolonglah, awak balik ke sekolah-sekolah, ajar agama, agama yang betullah, jangan agama mangkafir, itu tak betul,

“Kalau dia tak tahu cukup tentang hal agama Islam, saya boleh bagi rujuk kepada al-Quran, kalau dia tak tahulah, pasal mengkafirkan orang Islam adalah satu perkara yang dilarang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menasihatkan Mahathir lebih sesuai berkhidmat di Kilinik 1Malaysia berbanding menyertai PRU-14.

Abdul Hadi turut bersimpati dengan bekas Perdana Menteri itu kerana masih terbabit dalam politik ketika usianya mencecah 93 tahun.

Abdul Hadi Awang

Dalam pada itu, Mahathir terus menyindir Abdul Hadi supaya mendalami ilmu agamanya dan menawarkan jawatan pensyarah jika Abdul Hadi benar-benar layak.

“Jadi saya fikir dia patut juga pergi belajar lagi supaya fahaman Islam dia lebih mendalam dan balik sini.

“Kalau dia pandai-pandai betul kita bagi dia jadi pensyarah di universiti Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast