Presiden Parti Progresif Penduduk (myPPP), Tan Sri M. Kayveas (tengah) bersorak bersama ahli-ahli partinya pada sidang akhbar khas di Wisma MyPPP, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Tertinggi Jawatankuasa Pusat myPPP sebulat suara membuat keputusan untuk tidak keluar Barisan Nasional (BN) sehingga perbincangan serta pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selesai.

Sebaliknya, menurut Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas, keputusan itu mungkin akan berubah seandainya permintaan mereka masih dipandang sepi kepimpinan tertinggi BN.

Jelas beliau, kata dua itu bukan keputusan seorang sebaliknya hampir majoriti kepimpinan tertinggi bersetuju memandangkan kehadiran myPPP dalam BN tidak dihargai.

“Isu kerusi ini tidak akan timbul sekiranya dari awal lagi kita diberitahu untuk bertanding di Segambut atau kawasan lain. Sebelum ini, myPPP telah menyerahkan satu kerusi Parlimen dan empat lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi oleh parti lain seperti MCA dan Gerakan.

“Sebagai balasan, kita diberikan kerusi Cameron Highlands dan juga DUN Buntong namun demikian pada saat-saat akhir semua ini bertukar. Mengapa begitu?

“Kenapa kini mahu berikan sebuah kerusi yang kita tidak ada kerja selama empat tahun ini? Ini tidak betul dan rata-rata ahli merasakan tindakan ini tidak adil.

“Kami dalam myPPP masih lagi berharap agar kerusi Cameron Highlands diberikan kepada kami kembali. Kami telah bekerja siang malam untuk mendekati pengundi dan masyarakati. Kita telah berkempen untuk BN menang di sana. Ketika ini, laluan mudah 50 peratus untuk BN menang sangat cerah.

“Kita akan bertemu dengan Pengerusi BN dalam masa terdekat dan bincangkan semua hal kerusi. Kita tunggu dan lihat keputusan Datuk Seri Najib Razak dan buat keputusan selepas itu. Buat masa ini, kita akan terus kekal dengan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat myPPP di Kg Attap di sini hari.

Terdahulu, seramai hampir 300 lebih dari seluruh negara membuat demonstrasi di luar bangunan myPPP mendesak kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan berhubung kerusi Cameron Highlands dan masa depan parti itu.

Sebahagian penyokong myPPP memberi sokongan kepada presidennya, Tan Sri M. Kayveas di Wisma MyPPP, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 APRIL 2018.

Rata-rata mereka meluahkan rasa tidak puas hati dan tertipu kerana seolah-olah ‘dianaktirikan’ kerana memberikan kerusi Cameron Highlands dengan mudah kepada MIC walaupun penyandangnya kini, Datuk Seri G. Palanivel bukan lagi ahli MIC.

Dalam pada itu, Kayveas juga berikar untuk membantu BN bagi memenangi DUN Tanah Rata yang sebelum ini dikuasai  pembangkang.

“myPPP bukan bekerja di satu kawasan sahaja memandangkan ada kawasan yang dikuasai oleh pembangkang sebaliknya kita berhempas pulas di semua tempat. Kenapa kini biarkan seseorang yang bukan anak jati Cameron Highlands untuk bertanding sesuka hati?

“Apa yang terjadi dengan laungan-laungan mahu ‘winnable candidate’? Kita boleh bantu BN menang besar, kita akan menang. Jangan cuba tuduh myPPP hendak lakukan sabotaj jika anda tidak layak untuk dipanggil sebagai calon. Seingat saya, mungkin pengundi sendiri akan lakukan sabotaj itu,” tegasnya.

Kayveas juga menolak bulat-bulat untuk bertanding di Parlimen Segambut dan tidak menghalang mana-mana ahli parti itu untuk bertanding seandainya berminat.

“Secara peribadi, saya menolak sebagai calon untuk bertanding di Segambut. Jika ada yang berminat dalam kalangan parti ini, saya tidak akan sesekali menghalang,” ujarnya.- MalaysiaGazette

MyPPP keluar BN?

1 Komen

Comments are closed.