Home Ekonomi PNB tawar 5,000 rumah mampu milik

PNB tawar 5,000 rumah mampu milik

Pengunjung melihat replika rumah yang akan dibangunkan oleh PNB di Bangan Pinang, Port Dickson.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional akan membangunkan kediaman bertanah bagi projek pembangunan perumahan pertama mampu miliknya yang pertama di Bagan Pinang, Si Rusa, Port Dickson.

Ia merupakan antara tiga lokasi projek tersebut selain dibangunkan di Pedas, Negeri Sembilan dan Telok Datok, Banting, Selangor, yang kesemuanya berjumlah 5,000 buah rumah.

Projek itu akan dibangunkan oleh PNB Value Homes Sdn. Bhd pada bulan Jun tahun ini dan dijangka siap pada bulan Jun tahun 2020.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, rumah mampu milik PNB di Bagan Pinang ini berkonsepkan kediaman bertanah dengan anggaran keluasan antara 900 hingga 1,000 kaki persegi yang dilengkapi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

Projek ini akan dibangunkan melalui sistem bangunan berindustri (IBS) agar pembinaan dapat dilaksanakan dengan kos yang efektif.

Sejumlah 140 unit buah rumah teres setingkat bersaiz 20’ x 70’ ditawarkan bermula daripada harga RM180,000 hingga RM200,000 mengikut keluasan tanah.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn Bhd, Tuan Haji Salem Kailany memberi penerangan mengenai PNB Value Homes kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar di majlis perlancaran PNB Value Homes di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam..

Kawasan perumahan ini juga berdekatan dengan kemudahan awam sedia ada seperti sekolah, klinik, balai polis dan Majlis Perbandaran Port Dickson.

“PNB bukannya sebuah institusi pelaburan sahaja, malah kami sentiasa peka dan bergerak cergas melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat
terhadap rakyat Malaysia, antaranya termasuk bantuan untuk meningkatkan tawaran rumah mampu milik.

“Rumah milik sendiri yang sesuai untuk didiami merupakan salah satu asas kepada kehidupan yang selesa dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika majlis perasmian semalam.

Bertumpu kepada kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan, permohonan bagi rumah-rumah mampu milik ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang telah berkahwin atau
merupakan ibu atau bapa tunggal berumur 21 tahun pada masa permohonan.

Pendapatan individu atau isi rumah bagi pemohon pula tidak melebihi RM5,000 sebulan dan tidak pernah membeli rumah kediaman.

Permohonan adalah terhad kepada satu unit bagi setiap isi rumah dan tempoh moratorium pula adalah selama lima tahun. Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian di laman web rasmi PNB Value Homes di http://www.pnbvh.com/. – MalaysiaGazette