Home Utama Sistem PIES selamatkan wanita jatuh atas trek LRT

Sistem PIES selamatkan wanita jatuh atas trek LRT

Mangsa diiringi pegawai Rapid KL dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut.

KUALA LUMPUR – Wanita mengandung terjatuh di atas trek Stesen LRT Damai telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.48 pagi tadi, seorang wanita yang berusia 26 tahun sedang menunggu tren untuk ke tempat kerja.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dalam keadaan tidak stabil dan tiba-tiba terjatuh ke atas trek ketika tren menghampiri platform.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, sistem PIES (Platform Intrusion Emergency Stop) yang dipasang di platform stesen LRT Laluan Kelana Jaya telah menyelamatkan wanita itu.

Sistem PIES bertindak memberhentikan tren yang sedang menghampiri platform secara serta merta apabila ia mengesan ada “objek” yang terjatuh ke atas trek.

Sejurus selepas kejadian, Polis Bantuan Prasarana bersama pegawai operasi stesen bertindak mengarahkan semua penumpang untuk mengosongkan platform bagi menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa.

Pasukan penyelamat yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat serta ambulans yang tiba di lokasi sejurus kemudian mengambil masa kira-kira 7 minit untuk menyelamatkan mangsa.

Wanita itu diiringi pegawai Rapid KL dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut.

Prasarana menambah, Sistem LRT Laluan Kelana Jaya pulih sediakala pada jam 8.15 pagi selepas kira-kira 25 minit mengalami kelewatan jadual perjalanan.

“Sistem PIES berfungsi memberhentikan aliran elektrik pada sistem LRT sekiranya terdapat impak melebihi 7 kilogram ke atas plat PIES.

PIES ini dipasang di semua platform di stesen LRT Laluan Kelana Jaya kecuali di stesen bawah tanah”, kata Khairani Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd.

Bagi LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling, kerja-kerja pemasangan PIES sedang dijalankan dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

“Kami amat bersyukur kerana sistem keselamatan yang terdapat pada tren dan stesen berfungsi dengan baik sekali.

“Sistem PIES ini direka dan dipasang di kebanyakan sistem rel bandar di serata dunia bagi mengesan sebarang objek atau gangguan pada sistem trek,” katanya. – MalaysiaGazette