Datuk Seri Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata niat untuk Ibrahim Mat Zin untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk adalah hak beliau.

Malah kata Menteri Besar Perak itu, kehadiran ‘Raja Bomoh Malaysia’, yang juga akan bertanding di parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan menjadi isu atau suatu perkara yang perlu dihalang kerana ia amalan demokrasi.

“Terpulang kepada dia, …itu hak masing-masing, kebetulan dia dari kalangan itu (bomoh) agak menghairankan juga, ketuanya (Ibrahim) bertanding dengan Datuk Zahid (Ahli Parlimen Bagan Datuk) dan timbalannya nak bertanding dengan saya..biarlah mereka itu.

“Kita berada dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Sesiapa sahaja boleh bertanding,” katanya sebagaimana dipetik.

Dalam pada itu, Ibrahim yang merupakan Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM) turut mengumumkan timbalannya akan dicalonkan bagi bertanding di DUN Pangkor yang berkemungkinan berdepan dengan Zambry di Pangkor.

Rabu lalu, Ibrahim mengumumkan hasratnya untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk sebagai calon Bebas pada PRU14 ini. -MalaysiaGazette