Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian cukai berganda kepada semua syarikat yang terlibat dalam menjaya inisiatif berkenaan.
“Hari ini sukacitanya saya umumkan melalui 18 MoU yang bakal dimeterai bersama 6,000 peluang pekerjaan melalui program MyApprenticeship ini akan dapat dicapai.
“Bagi mencapai sasaran 1 juta peluang pekerjaan itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan potongan cukai berganda kepada semua syarikat yang terlibat merealisasikan inisiatif ini,” katanya berucap merasmikan Program MyApprenticeship di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Najib juga berkata, melalui Program MyApprenticeship itu juga, kerajaan mensasarkan untuk menambah sebanyak sejuta peluang pekerjaan baharu iaitu tambahan kepada sasaran awal tiga juta pada masa ini.
“Melalui MyApprenticeship ini juga yang diputuskan dalam mesyuarat NBOS pada 22 Februari 2018, kerajaan bertekad untuk menambah sebanyak 1 juta lagi peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
“Bagaimana mencapai semua ini, kita perlu kerjasama seeratnya dengan semua pihak sama ada sektor awam, GLC mahupun swasta,” katanya.
Najib berkata lagi, penambahan peluang pekerjaan baharu menjadikan empat juta sasaran Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu jauh lebih baik berbanding manifesto Pakatan Harapan.
“Ternyata ini semua berbeza dengan manifesto parti pembangkang yang hanya menjanjikan sejjuta sahaja peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
“Saya yakin ini adalah untuk kepentingan rakyat. Dalam negara ini ramai pekerja yang mempunyai tahap kemahiran yang dituntut masa ini dan akan datang dari segi kemahiran yang sesuai dengan keperluan dan kehendak.
“Tanpa pekerja mahir syarikat-syarikat mereka tidak boleh berkembang dengan begitu pesat,” katanya.
Katanya lagi, masalah bekalan air juga menjadi faktor penyumbang kepada ketidakupayaan Pakatan Harapan di Selangor untuk menawarkan peluang pekerjaan.
“Kalau bekalan air asyik terputus di Selangor, juga merupakan salah satu daripada kekangan kepada perkembangan urusan-urusan dan perniagaan mereka.
“Jangan kita sesekali terpedaya, lalu memilih jalan yang kelam jalan silam yang penuh kesangsian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















