Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat gerai pameran kerjaya pada Majlis Perasmian MyApprenticeship di Dewan Tun Razak PWTC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Tidak perlu menyelamatkan Malaysia daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebaliknya rakyat perlu mengelakkan negara ini daripada jatuh ke tangan pakatan pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ini kerana prestasi ekonomi Malaysia mengatasi unjuran Bank Dunia yang meletakkan kadar pertumbuhan ekonomi hanya 5.8 peratus sedangkan ekonomi negara berkembang dan kini mencapai 5.9 peratus.

“Ini semua menafikan dan menolak apa yang diuar-uarkan oleh pihak pembangkang kononnya Malaysia ini adalah negara bangkrap, fail state mahu pun perlu diselamatkan.

“Rekod pencapaian kita seperti ini bukan perlu diselamatkan tetapi kita perlu menyelamatkan Malaysia daripada jatuh ke tangan mereka yang tergolong dalam kumpulan tersebut,” katanya berucap merasmikan Program My Apprenticeship di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Richard Riot.

Najib juga berkata, program MyAppenticeship merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meletakkan pemerkasaan modal insan sebagai agenda nasional untuk menjamin peluang pekerjaan bagi memenuhi keperluan kini dan akan datang dari segi kemahiran.

“MyApprenticeship akan memastikan keperluan masa ini dan akan datang dari segi kemahiran para pekerja dengan kemahiran yang sesuai dengan tuntutan zaman terutama dalam konteks IR4.0 akan dapat ditunaikan,” katanya.

Katanya lagi, dakwaan Malaysia negara gagal semakin diragui kerana prestasi ekonomi negara diiktiraf peringkat global dalam Forum Ekonomi Dunai (WEF) dalam laporan daya saing bagi 2017-2018 sekaligus meletakkan negara di tangga ke-23 dari 137 negara di dunia.

“Bila kita teliti senarai tersebut, kita dapati Malaysia terus mendahului negara-negara kuasa ekonomi dunia, maknanya kita lebih kompetetif daripada mereka.

“Kita juga dapat mengekalkan penarafan antarabangsa di mana Malaysia kekal dalam unjuran stabil dalam kumpulan skor atau kategori A pada 2017.

“Terkini maklumat yang saya terima daripada Security Commission dan hari ini kalau kita baca akhbar Bursa Saham Malaysia mencecah paras yang tertinggi dalam sejarah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast