Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – Sistem perkhidmatan tram sepanjang 53 kilometer menghubungkan Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi menjelang tahun 2022.

Sistem itu dikatakan sedang dipertimbangkan kerajaan Pusat sebagai penyelesaian kepada masalah pengangkutan awam di sekitar kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketika ini pihaknya sedang memikirkan untuk menyelaraskan jaringan perkhidmatan dari pinggiran Putrajaya sehingga ke Kampung Bakar Baginda di Bangi.

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan kaedah terbaharu jauh murah lagi iaitu sistem tram.

“Projek ini insyaallah dijangka siap menjelang tahun 2021 atau 2022 jadi saya sarankan penduduk Putrajaya tak perlulah memberi kereta persendirian terlampau banyak tetapi gunakanlah pengangkutan awam nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah pembinaan tempat letak kereta tiga tingkat di Kuarter kerajaan Fasa 4B, Presint 8 di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, penyandang kerusi Parlimen Putrajaya itu berkata, kerajaan sedang menguji bas elektrik untuk dilaksanakan di Putrajaya dan kawasan sekitarnya.

Cuma, katanya, wujud sedikit masalah antara kerajaan dan Pengurusan lama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam perkara itu yang mana sehingga kini belum ada geran disediakan untuk bas-bas Nadi Putra.

“Setiap pengangkutan awam disediakan geran khas oleh kerajaan tapi tidak untuk Nadi Putra sehingga kita terpaksa membelanjakan wang Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk subsidi sebagai membantu kos itu penyelenggaraan.

“Setiap tahun kos yang perlu dibayar ialah mengangkaui RM10 juta hingga RM12 juta yang kami perlu lunaskan.

“Maka perkara ini sudah diambil maklum SPAD dan menteri yang bertanggungjawab di Jabatan Perdana Menteri sedang mengkaji perkara ini supaya geran disediakan untuk nadi Putra,” ujar beliau.

Jelasnya kebanyakan bas nadi putra usang akibat dimamah usia berpuluh selain memerlukan kos penyelenggaraan tinggi.

“Kalau projek perintis bas elekrtik berjalan lancar kita akan melaksanakannya sekiranya kerajaan BN sekali lagi diberi mandat terus memerintah untuk merealisasikan dua projek yang dijanjikan menjelang 2022 ini,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette