KUALA LUMPUR – Pensyarah warga Palestin yang dibunuh semalam mungkin dikebumikan di tanah airnya selepas ahli keluarga Dr. Fadi M R Albatsh merayu supaya jenazah allahyarham di bawa pulang ke Gaza untuk disemadikan.

Pengurus Besar Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO), Dr. Mahmoud Shakfa berkata, bapa allahyarham telah merayu supaya jenazah disemadikan di Gaza kerana mahu melihat anaknya itu buat kali terakhir selepas tidak berjumpa selama tujuh tahun.

“Bapanya menghubungi kami dan menzahirkan harapan supaya jenazah Dr. Fadi dikebumikan di kampung halamannya di Jabalia,” katanya di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahmoud ketika ini kedutaan Palestin dan Mesir di Malaysia sedang menguruskan prosedur untuk membawa pulang jenazah allahyarham ke Gaza.

Proses mungkin mengambil masa dua atau tiga hari, katanya.

Dr. Fadi yang ditembak dalam jarak dekat oleh dua orang lelaki ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat subuh di Setapak, semalam sepatutnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda selepas proses bedah siasat selesai.

Bagaimanapun, rancangan tersebut terpaksa ditunda berikutan ahli keluarga allahyarham masih menantikan ketibaan abangnya dari Jerman.

Dr. Fadi yang merupakan seorang penghafaz al-Quran dan pensyarah meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. – MalaysiaGazette