KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan mengeluarkan kenyataan mengenai pelaksanaan mewajibkan permit kemasukan kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang masuk ke negara ini.

Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata, maklumat yang tular mengenai perkara itu adalah tidak benar.

“Untuk pengetahuan semua, VEP masih lagi di peringkat ujian dan pengesahan sistem bagi memastikan kestabilan dan kesempurnaan sistem sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.

“Pada masa ini tiada sekatan terhadap kenderaan dari luar negara atau Singapura yang masuk tanpa pendaftaran permit masuk atau VEP,” kata kenyataan tersebut.

Justeru, menurut kenyataan itu, orang ramai diharap agar tidak terpengaruh dan mempercayai sebarang dakwaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutama dalam menularkan maklumat itu.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan penguatkuasaan sistem VEP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Tambah kenyataan itu lagi, orang ramai diminta melayari laman web https://vep.jpj.gov.my/#/about untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai VEP. – MalaysiaGazette