Datuk Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU – Kaunter Imigresen di kedua-dua pintu masuk Malaysia-Singapura akan beroperasi secara maksimum selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mei ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata. ia bagi membolehkan pekerja Malaysia yang bekerja di seberang tambak pulang mengundi pada 9 Mei.

Tegasnya, kesesakan lalu lintas di pintu masuk seharusnya tidak dijadikan alasan dengan menyalahkan kerajaan.

“Kalau mereka warganegara bertanggungjawab, ambillah cuti dan pulang mengundi bukan salahkan kerajaan bila kesesakan berlaku.

“Yang penting kerajaan tidak menghalang dan kerajaan akan memastikan bahawa kemampuan Jabatan Imigresen pada hari itu pada tahap maksimum. Namun, memang akan timbul kesesakan sekiranya semua pulang secara serentak,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Sentuhan Rakyat, di sini hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Pulai itu berkata, kesesakan merupakan perkara biasa terutama dengan jumlah kenderaan keluar masuk yang tinggi namun mereka boleh mengambil alternatif lain dengan merancang perjalanan atau mengambil cuti.

Nur Jazlan berkata demikian mengulas mengenai kebimbangan rakyat Malaysia di Singapura untuk pulang mengundi yang jatuh pada hari bekerja di negara itu.

KDN sebelum ini mengumumkan cuti 350 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Johor yang bertugas di dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di negeri ini dibekukan pada 8 hingga 10 Mei ini bagi melancarkan PRU14. – Bernama