Tan Sri Zulhasnan Rafique ketika diumumkan sebagai calon Parlimen Setiawangsa pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Sesi Memperkenalkan Calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Zulhasnan Rafique kembali ke kancah politik apabila namanya tersenarai semula sebagai calon UMNO untuk kerusi Parlimen Setiawangsa.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan tersebut merupakan antara 13 calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan yang akan menggalas tanggungjawab parti masing-masing dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Walaupun namanya tidak disenaraikan dan diambilalih Datuk Ahmad Fauzi Zahari pada PRU13 namun Barisan Nasional masih mampu mengekalkan kerusi Parlimen tersebut apabila Ahmad Fauzi berjaya mengalahkan Ibrahim Yaacob dari PKR dengan majoriti 1,390 undi.

Seperti dijangka, pada pengumuman yang dilakukan oleh Setiauasaha BN Wilayah, Datuk Rizalman Mokhtar hari ini, UMNO mengekalkan Datuk Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa dan Putrajaya.

Pada PRU13 Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Wilayah Persekutuan itu menewaskan lawan masing-masing daripada Pas.

Selain itu, UMNO sekali lagi memberi kepercayaan kepada Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk merampas kembali kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenangi Nurul Izzah Anwar dari PKR selama dua penggal.

Parti itu turut meletakkan semula calon di kerusi Bandar Tun Razak selepas menyerahkannya kepada MCA dengan menyenaraikan Adnan Abu Seman.

Daripada 13 kerusi yang dipertandingkan di Wilayah Pesekutuan UMNO menyenaraikan enam orang calon diikuti MCA (4 calon), Gerakan (2 calon) dan MyPPP (1 calon).

MCA meletakkan Chan Quin Er di Seputeh yang dijangka bersemuka dengan penyandangnya, Teresa Kok yang memang besar pada PRU13 di kawasan tersebut.

Selain itu, MCA menyenaraikan Datuk Yew Teong Lock untk bertanding di kawasan parlimen Wangsa Maju, Ann Tan Yen Yen (Bukit Bintang), Heng Sinn Yee (Cheras).

Gerakan pula mempertaruhkan Ong Siag Liang untuk kerusi Parlien Kepong dan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di Batu manakala MyPPP menyenaraikan Datuk J.Loga Bala Mohan di Segambut. – MalaysiaGazette