Home Ekonomi Perlindungan peribadi sebulan untuk pemegang kad mesra Petronas

Perlindungan peribadi sebulan untuk pemegang kad mesra Petronas

KUALA LUMPUR – Berkuatkuasa 1 Mei 2018, semua ahli Kad Mesra Petronas secara automatik akan mendapat faedah Perlindungan Kemalangan Peribadi (PA) selama satu bulan.

Tawaran eksklusif melalui Petronas Dagangan Berhad (PDB) dengan kerjasama Shieldcard Holdings Sdn Bhd dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB), menjadikan ia yang pertama ditawarkan oleh syarikat bahan api runcit di Malaysia.

Perlindungan 24 jam seminggu di seluruh dunia ditawarkan dalam pilihan konvensional dan Takaful,
memberikan ahli imbuhan sebanyak RM50 sehari sebagai Bayaran Hospital Harian selama 30 hari bagi setiap peristiwa yang diinsuranskan.

Sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal dari kemalangan, ahli kad Mesra, keluarga atau waris berhak menerima pembayaran tunai sehingga RM25,000 (meningkat kepada RM50,000 jika peristiwa yang diinsuranskan berlaku pada hari cuti umum yang diwartakan kerajaan).

Ketua Bahagian Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly berkata: “Sejak inisiatif ini dilancarkan pada bulan Februari tahun ini, syarikat ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelanggan”.

Oleh itu, PDB memutuskan untuk memberikan perlindungan satu bulan percuma kepada semua ahli kad Mesra sedia ada dan baru.

Semua ahli Kad Mesra akan menerima SMS atau e-mel daripada PETRONAS memaklumkan
tentang faedah PA percuma ini.

Ahli yang ingin terus menikmati faedah PA untuk bulan berikutnya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM100 setiap bulan untuk menyambung langganan mereka kepada faedah PA, yang mana 100 Mata Mesra (bersamaan dengan RM1) akan ditolak daripada akaun Kad Mesra mereka.

Selain itu, dengan mendaftar untuk Pelan PA Mesra, ahli-ahli kad Mesra juga didaftarkan secara automatik bagi Program Faedah AXXESS, di mana “AXXESSpoints” boleh dikumpul dari
pengusaha atau kedai yang mengambil bahagian di seluruh negara. – MalaysiaGazette