Home Nasional Lelaki Lubnan ditahan kes sindiket sijil palsu

Lelaki Lubnan ditahan kes sindiket sijil palsu

Azam Baki

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga negara Lubnan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran sijil pertauliahan palsu menggunakan nama beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Suspek berusia 36 tahun itu merupakan individu ketujuh yang ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya malam tadi.

Menurut sumber, suspek yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat percetakan dipercayai merupakan salah seorang ejen yang mendapatkan ‘pelanggan’ yang ingin membeli sijil pertauliahan palsu tanpa perlunya menghadiri kursus tersebut.

Pasukan penyiasat masih sedang mengenalpasti dalang utama sindiket ini yang bertanggungjawab untuk mencetak sijil-sijil palsu tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah sumber itu lagi, siasatan juga mendapati terdapat orang-orang kenamaan dengan gelaran turut telah membeli sijil-sijil pertauliahan palsu tersebut.

“Kita tidak boleh mengambil ringan perkara ini kerana terdapat orang-orang kenamaan turut didapati telah mendapatkan khidmat sindiket ini untuk mendapat sijil-sijil palsu.”

“Kita juga akan memanggil mereka sekiranya perlu bagi membantu siasatan dalam masa terdekat,” ujarnya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut berhubung orang-orang kenamaan yang dipercayai telah membeli sijil-sijil pertauliahan palsu daripada sindiket ini.

Tambah beliau, pasukan penyiasat sedang meneliti dokumen-dokumen yang dirampas dalam beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak 15 April lalu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi yang akan ditangkap berkait dengan siasatan kes ini.

Sijil pentauliahan palsu itu boleh diperolehi dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM16,000.00 bergantung dengan jenis sijil dan IPTS.

Kes tersebut disiasat mengikut seksyen 16(a)(A) ASPRM 2009. – MalaysiaGazette