Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Resedensi Pandanmas Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2018
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Resedensi Pandanmas Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Seramai 300 komuniti India hari ini menerima kunci rumah menerusi program penempatan semula di Pangsapuri Pandanmas 2.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, penerimaan kediaman itu membuktikan dakwaan yang dibuat Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy sebelum ini bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjaga kebajikan kaum India adalah tidak benar.

Sebaliknya tambah beliau BN mempunyai banyak program yang dikhususkan kepada ketiga-tiga kaum dalam negara.

“Jadi Waythamoorthy ini, jangan cakap bukan-bukan kita ada program-program untuk semua kaum dalam Malaysia ini, negara kita merupakan negara yang berbilang kaum, agama dan bangsa BN parti yang berbilang bangsa akan menjaga kebajikan semua kaum,” katanya pada sidang media.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kiri) diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meninjau blok utama pada Majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Resedensi Pandanmas Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2018

Tengku Adnan pada masa yang sama menyempurnakan majlis serah kunci Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) kepada 1,920 pembeli di kawasan tersebut.

Beliau berkata,kediaman berkeluasan 800 kaki persegi yang dijual pada harga serendah RM42,000 kepada komuniti India itu bertujuan mengubah kehidupan mereka yang sebelum ini menetap di rumah setinggan.

“Ini penempatan semula untuk komuniti yang sebelum ini tinggal di kawasan yang daif, sempit dan kurang selesa ke kediaman yang lebih kondusif,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

RUMAWIP, katanya, dijual pada harga RM300,000 seunit jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Blok utama pangsapuri pada Majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Resedensi Pandanmas Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2018

Ekoran itu ujarnya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah mencapai sasaran yang ditetapkan bahkan pembinaan RUMAWIP melebihi sasaran iaitu 88,917 unit dibina berbanding 80,000 yang disasarkan di Wilayah Persekutuan.

Tambah beliau sasaran itu dicapai dengan kerjasama baik di antara kerajaan dan pihak swasta. -MalaysiaGazette