Home Dunia Pelancong AS ke Cuba susut

Pelancong AS ke Cuba susut

HAVANA – Jumlah jumlah pelancong Amerika Syarikat ke Cuba menyusut sebanyak 7 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini susulan peraturan ketat yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump.

Pengarah Komersial Kementerian Pelancongan Cuba, Michel Bernal berkata, amaran pengembaraan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat menjadi punca kemerosotan jumlah pelancong dari negara itu.

Selain itu, sektor pelancongan Cuba terjejas disebabkan Taufan Irma yang melanda kepulauan itu pada September lalu.

“Jumlah pelancong Amerika Syarikat hanya 56.6 peratus pada tahun lalu,” kata Bernal.

Bilangan warga Amerika yang melakukan perjalanan ke Cuba melonjak selepas bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengadakan pertemuan dengan Presiden Raul Castro pada tahun 2014.

Hasil pertemuan itu juga Amerika Syarikat telah mengurangkan syarat larangan perjalanan tetapi mengekalkan larangan pelancongan.

Peningkatan ketibaan pelancong Amerika Syarikat ke Havana memacu pertumbuhan pesat sektor swasta negara, dengan pembukaan banyak kedai dan restoran.

Bernal berkata, negara itu berharap jumlah pelancong asing ke negara itu mencecah lima juta tahun ini.

Unjuran itu kenaikan sebanyak 16.2 peratus berbanding 4.7 juta pada tahun lalu. – MalaysiaGazette