Daimler AG
Daimler AG

BEIJING – Ketua Eksekutif Daimler AG, Dieter Zetsche mengesahkan tiada petunjuk yang menunjukkan pemegang saham terbesar syarikat itu, Li Shufu merancang untuk melakukan pengambilan alih secara paksaan selepas beliau membeli AS$9 bilion pegangan dalam firma tersebut awal tahun ini.

Jelasnya, Li yang juga peneraju syarikat Geely dari China itu memberitahu Daimler AG bahawa beliau tidak berhasrat untuk memiliki lebih daripada apa yang dimilikinya sekarang iaitu hampir 10 peratus saham di dalam syarikat kereta Jerman itu.

Pertambahan pegangan Li di dalam Daimler AG menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Jerman yang takut aset paling berharga milik negara berkenaan bertukar tangan kepada China terutama apabila urusniaga tersebut tidak mencetuskan treshold normal yang perlu didedahkan.

Ini menyebabkan pemerhati pasaran tidak sedar mengenai apa yang berlaku.

Li menggunakan syarikat tidak aktif yang berpangkalan di Hong Kong, derivatif, pembiayaan bank dan opsyen saham yang distruktur dengan cermat untuk memastikan pelan tersebut dirahsiakan sehinggalah serangan dilakukan dan beliau menjadi pemegang saham terbesar tunggal Daimler AG.

Tambah Zetsche, tiada perbincangan dibuat untuk menjamin Li tidak akan meningkatkan pegangannya.

Bercakap dalam satu acara meja bulat di pameran automotif di Beijing, CEO Daimler AG itu menambah, syarikat berkenaan buat masa ini tidak mempertimbangkan sebarang kerjasama dengan Li atau syarikatnya, Geely.

Daimler AG turut telah mempunyai rakan kongsi dari China, BAIC.- MalaysiaGazette