Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yakin semua masalah dalaman Barisan Nasional (BN) di kawasannya dapat diselesaikan sebelum hari mengundi bagi memastikan kemenangan besar berpihak kepada BN.

Beliau yang ditemui malam tadi memberitahu, kemelut yang melanda bukan tidak boleh diselesaikan dan perlukan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit.

“Ada penyelesaiannya kerana ini cuma masalah dalaman parti yang turut berlaku di tempat lain. Saya terpaksa turun padang bertemu ketua-ketua cawangan dan mendengar sendiri keluhan mereka dari hati ke hati.

“Yang mana boleh selesai, kita akan selesaikan secepat mungkin tetapi saya yakin, apa juga permasalahan akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di Simpang Ampat, Alor Gajah malam tadi.

Kata Ketua Puteri UMNO Malaysia itu, selama sepenggal menjadi Ahli Parlimen, hubungannya dengan rakyat boleh dikatakan akrab kerana sering balik ke kawasan untuk menganjurkan pelbagai program.

“Walaupun memegang tiga jawatan serentak iaitu Ahli Parlimen, Timbalan Menteri Pelancongan dan Ketua Puteri UMNO Malaysia, tanggungjawab saya kepada rakyat di kawasan saya tidak pernah diabaikan.

“Setiap minggu saya akan balik ke kawasan untuk bertemu rakyat melalui program-program yang diatur oleh jentera saya. Jadi, saya nampak jalan penyelesaian kemelut yang melibatkan rakyat, saya boleh diatasi.

“Bohonglah kalau saya tidak risau tetapi saya bertanggungjawab untuk mendengar segala keluhan rakyat apa lagi di kalangan ahli parti UMNO sendiri,” katanya.

Bercakap tentang peluang untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mas Ermieyati berkata, rakyat kenal siapa dirinya dan apa yang telah dibuat sepanjang menjadi wakil rakyat.

“Saya kenal siapa yang akan lawan saya nanti kerana kami sekampung. Itu hak dia atau sesiapa sahaja untuk bertanding tetapi saya yakin BN akan menang juga nanti.

“Saya masih tetap menjalankan program bertemu rakyat sebagaimana yang telah disusun dalam jadual tugasan saya bila balik ke kawasan.

“Bukan sebab untuk meraih undi semata-mata tetapi ini memang rutin kehidupan saya setiap minggu sepanjang menjadi wakil rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette