KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mengadakan mesyuarat tergempar malam semalam bersetuju dan menyokong presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali bertanding PRU-14 ini.
Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, pada masa sama, Ibrahim tidak perlu melepaskan jawatan Presiden Perkasa sebagaimana hasratnya untuk berbuat demikian kerana beliau bertanding atas tiket bebas.
“Presiden memaklumkan kepada ADT dalam mesyuarat itu, yang beliau akan tanding atas tiket bebas bagi kerusi Parlimen Pasir Mas dan DUN Tendong. Semua ADT sebulat suara bersetuju dan menyokong beliau bertanding.
“Semua ADT juga bersetuju dengan cadangan Presiden bahawa selain beliau yang bertanding di Pasir Mas dan DUN Tendong, dua lagi orang kanannya juga dari Perkasa akan bertanding tiket bebas di DUN Meranti dan DUN Pengkalan Pasir sebagai satu pasukan.
“Ibrahim melahirkan hasrat untuk melepaskan jawatan kerana akan bertanding pada PRU-14 tetapi ADT sebulat suara bersetuju mahu beliau terus kekal sebagai presiden kerana beliau bertanding atas tiket bebas, dan tidak perlu lepaskan jawatan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Sirajuddin, ADT telah mengambil keputusan pertubuhan itu akan bersikap berkecuali dengan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik yang akan bertanding pada PRU-14.
Katanya, semua pimpinan dan ahli Perkasa seluruh negara boleh membuat pilihan masing ketika mengundi nanti.
“Bagaimanapun ADT menyarankan agar pilihan yang akan dilakukan oleh ahli Perkasa pada PRU14 ini perlulah memilih pihak yang difikirkan lebih baik dan mampu membela dan memperkasakan Islam serta Bumiputera.
“Pemimpin dan ahli Perkasa dilarang mengikuti kempen PRU14 dengan mana-mana parti atas nama Perkasa dan tidak memakai pakaian dengan adanya logo dan nama Perkasa dalam mana-mana program anjuran parti politik yang bertanding,” katanya.
Beliau menjelaskan, pimpinan Perkasa negeri dan Parlimen dilarang sama sekali membuat kenyataan menyokong mana-mana parti politik yang bertanding.
Bagaimanapun, ujarnya, mereka boleh hadir dan terlibat dalam program kempen PRU-14 dengan mana-mana parti politik atas kapasiti peribadi atau atas kapasiti ahli kepada parti politik berkenaan.
Beliau turut menyampaikan saranan ADT Perkasa kepada umat Islam, Melayu dan Bumiputra agar membuat pilihan tepat pada hari mengundi 9 Mei ini demi masa depan agama, Melayu dan Bumiputera serta negara. – MalaysiaGazette
















