AZman, Ahmad, kempen, Parlimen, Hulu Langat
Azman Ahmad

SEMENYIH – Calon bagi kawasan Parlimen Hulu Langat, Azman Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN) menyifatkan pemilihannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai tanggungjawab besar dalam usaha menyatukan masyarakat setempat tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, bukan mudah untuknya berbuat demikikan tetapi dia sedia menerima cabaran yang telah diamanahkan kepada beliau sekiranya jawatan yang ditandingi itu memihak kepadanya.

“Melihatkan senario politik hari ini, cabaran yang bakal dilalui memang besar tetapi dengan pengalaman yang ada selama berkhidmat dalam NGO seperti Gagasan Prihatian Semenyih (GPS) saya yakin rakyat boleh menerima saya biarpun tidak menyeluruh.

“Kita kena terima hakikat bahawa bukan semua rakyat akan menyokong BN namun saya akan berusaha mendekati mereka sebagaimana yang telah saya buat bersama GPS iaitu membantu dan menyelesaikan semua permasalahan rakyat.

“Sebenarnya, saya tidak terfikir pun akan dipilih sebagai calon, jauh sekali untuk melobi bagi mendapatkan jawatan ini. Bagi saya, apa yang diterima adalah sesuatu yang di luar kotak pemikiran saya kerana selama ini pun saya bekerja memang untuk masyarakat melalui GPS dan beberapa NGO lain,” katanya yang merupakan Pengerusi GPS ketika ditemui di Semenyih semalam.

Seorang yang murah dengan senyuman, apabila dipilih untuk bertanding jawatan Ahli Parlimen Semenyih, Azman tidak menolak akan berhadapan dengan segalah tohmahan dan fitnah daripada pihak lawan sepanjang berada dalam tempoh berkempen.

“Saya bukanlah orang baharu dalam dunia politik. Setiap kali pilihan raya saya akan bersama ahli-ahli parti untuk menjalankan kempen dan perkara-perkara cemuhan dan tohmahan ini saya dah biasa lalui.

“Bezanya, kali ini saya yang akan bertanding dan saya mengharapkan tidak ada isu buruk tentang diri saya yang akan dibawa pihak lawan kerana saya sendiri tidak suka menyentuh peribadi orang lain. Apapun, saya dah bersedia untuk mengharungi segala lautan tohmahan jika ada demi menjamin kemenangan parti BN,” jelasnya.

Tambahnya, sebagai calon yang mewakili parti kerajaan, peranannya akan mempertahankan maruah kerajaan tidak kira atas topik apa sekalipun.

“Memang dari mula berpolitik hinggalah ke hari ini, hidup saya sentiasa bersama BN dan kerajaan. Cuma apa yang saya harapkan agar semua pihak dapat menjalankan kempen dalam suasana sihat dan bersih.

“Tidak perlulah mencaci atau menghina sesiapa hanya kerana untuk mendapatkan undi sedangkan pada masa sama, pemikiran rakyat telah dipesongkan kea rah yang tidak elok,” ujarnya.

Menyentuh tentang kemungkinan akan ada undi sabotaj daripada kalangan ahli parti sendiri yang kecewa tidak tercalon, Azman berharap perkara seperti itu dapat ditangani dengan baik.

“Saya bukan sesiapa untuk memberi nasihat tetapi saya merayu kepada semua ahli parti agar kembali kepada perjuangan asal. Siapa pun yang dipilih masih tetap di bawah parti sama yang selama ini kita perjuangkan.

“Datanglah berjumpa saya pada bila-bila masa sekiranya ada permasalahan yang tidak boleh dirungkai. InsyaAllah kita selesaikan bersama dalam suasana kekeluargaan,” katanya. – MalaysiaGazette