Home Politik Pilih wakil rakyat sedia berbakti – Johari

Pilih wakil rakyat sedia berbakti – Johari

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Seseorang wakil rakyat tidak seharusnya mengejar gelaran ‘Yang Berhormat’ (YB) semata-mata, sebaliknya memainkan peranan lebih besar khususnya untuk berbakti kepada penduduk di kawasan yang diwakili mereka.

Malah, kedudukan wakil rakyat bukanlah ‘tiket’ mendapatkan sesuatu jawatan di peringkat nasional, tetapi mereka perlu berpegang kepada prinsip untuk menjaga kebajikan penduduk yang mesti dijadikan keutamaan.

Demikian gambaran diberikan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai ciri-ciri seorang wakil rakyat berwibawa dan individu yang layak digelar ‘YB’.

Johari yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, berkata wakil rakyat yang dipilih seharusnya memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada rakyat, selain dapat mewakili ‘suara’ mereka di Parlimen.

“Saya tidak mahu apabila kita cari wakil dalam kawasan kita, kita lihat puak-puak ini kalau mereka hendak bertanding, hari ini bertanding di kawasan Lembah Pantai, bila tiba pilihan raya bertanding di Pematang Pauh, yang bertanding di Permatang Pauh pergi bertanding di Pandan.

“Ini bukan wakil rakyat, ini wakil nak cari kedudukan untuk bertanding di peringkat nasional sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Tawaran Geran kepada 16 persatuan komuniti penduduk 1Malaysia Peringkat Parlimen Titiwangsa, di sini hari ini.

Johari yang juga penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa, turut menasihatkan pengundi agar tidak memilih wakil rakyat ‘nomad’ kerana pemimpin seumpama itu tidak tahu atau tidak ambil peduli mengenai isu-isu atau masalah setempat. –  BERNAMA