Petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kerja-kerja persiapan terakhir sebelum hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penamaan Calon P.143 Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2018.

PAGOH – Pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen P.143 Pagoh, sudah bersedia untuk digunakan bagi urusan menamakan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung 9 Mei ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di pusat berkenaan mendapati, lebih 20 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang bertungkus-lumus mengadakan persiapan.

Susun atur tempat duduk juga lengkap dengan disertakan sekali penanda nama yang dilekatkan dibelakang kerusi.

Pusat penamaan itu akan menjadi tempat untuk calon BN bagi kerusi Parlimen, Ismail Mohamed dan calon DUN Bukit Kepong, Mohd Noor Taib serta calon DUN Bukit Pasir, Datuk Noriah Mahat menghantar borang untuk bertanding.

Sementara itu, pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen P.146 Muar dilihat lengang berkemungkinan kerana segala persiapan sudah dilakukan awal oleh pihak SPR.

Datuk Razali Ibrahim yang merupakan calon Parlimen BN kawasan itu akan menghantar borang di pusat berkenaan esok.

Turut dijangka hadir bagi menghantar borang adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mewakili Pakatan Harapan.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang menjaga pusat tersebut memberitahu, pegawai SPR telah meninggalkan kawasan pusat penamaan sejak tengahari tadi.

Katanya, tidak ada sesiapa lagi yang memasuki kawasan tersebut selepas ditinggalkan oleh kakitangan SPR.

“Lagipun hari ini merupakan hari cuti bagi Johor dan tidak ada sebarang aktiviti persekolahan di sini,” katanya. – MalaysiaGazette