Home Nasional Penyerahan borang penamaan calon Shah Alam lancar

Penyerahan borang penamaan calon Shah Alam lancar

Tiga calon Pas diiringi kira-kira 300 penyokong berjalan masuk ke Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam untuk menyerah borang penamaan calon.

SHAH ALAM – Tiga calon Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari (BN), Khalid Abd Samad (PH) dan Dr. Mohd Zuhdi Marzuki menyerahkan borang penamaan calon masing-masing pada jam 9.03 pagi hingga 9.15 pagi.

Penyerahan borang penamaan calon juga diikuti calon DUN Batu Tiga, Ahmad Muadzam Shah Yaakop (BN), Rodziah Islam (PH) dan Abdul Halim Omar (Pas) serta calon DUN Anggerik, Jumaeyah Masdi (BN), Najwan Halimi (PH) dan Ahmad Dusuki Abd. Rani (Pas).

Borang diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya Shah Alam, Datuk Zahari Mohd Saad yang tempoh penyerahan dibuka selama satu jam dari 9 pagi hingga 10 pagi.

Masing-masing calon diiringi antara 200 hingga 300 penyokong yang berkumpul di luar pekarangan Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya (MBSA) Shah Alam, sejak jam 7 pagi.

Keadaan ketiga-tiga penyokong parti bertanding setakat ini terkawal dan tiada sebarang provokasi dicetuskan oleh mana-mana pihak.

Kira-kira 100 pasukan keselamatan iaitu polis dan anggota Penguatkuasa MBSA mengawal di tiga lokasi penyokong berkumpul. – MalaysiaGazette