Home Utama PH ‘kecundang’ awal di Pekan

PH ‘kecundang’ awal di Pekan

PEKAN – Suasana pusat penamaan calon di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah cukup meriah dengan warna biru tua seawal pukul 7 pagi hari ini.

Ibarat pesta, masyarakat Pekan tidak kira golongan tua dan muda turun beramai-ramai di hadapan Bangunan UMNO Bahagian Pekan untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga penyandang ahli parlimen itu.

Memulakan perarakan pukul 8.35 pagi, Najib ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meredah cuaca yang mula panas sambil melambai kepada masyarakat Pekan.

Energetik, membara dan bertenaga, itulah aura yang dimiliki penyokong Barisan Nasional (BN) yang menenggelamkan penyokong pembangkang, Pas dan Parti Keadilan Rakyat.

Pas bernasib baik apabila lebih ke depan berbanding PKR di bawah Pakatan Harapan (PH) apabila warna hijau kelihatan terserlah berbanding biru muda.

Di kawasan padang mereka berkumpul sambil melaungkan takbir dan nyanyian zikir yang bergema menambahkan sedikit kehangatan suasana.

Namun agak memeranjatkan, penyokong PH yang hadir memberi sokongan kepada calon mereka, Zahid Mat Arip boleh dibilang dengan jari.

Apa sudah jadi dengan jentera pilih raya umum PH di Pekan? Mereka seolah-olah tidak bersemangat dan hadir sekadar menunjukkan muka sahaja.

Barangkali PH sudah sedar mereka akan kalah awal di Pekan iaitu kubu kuat Najib sebagai Pengerusi BN.

Jika ini pemikiran penyokong PH, Najib bolehlah sepanjang hari berkempen selama 10 hari nanti menjelajah di kawasan lain.

Apa tidaknya, BN bagaikan menang sebelum bertanding dan PH dan Pas kecundang sebelum masuk gelanggang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast