Fizi Jihat
Fizi Jihat

MUAR – Gara-gara nama tersenarai sebagai muflis, permohonan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini hari ini.

SPR mendapati ada status itu di dalam rekod di Jabatan Insolvensi dan wakil PKR itu, Fizi Jihat tidak dibenarkan bertanding pada PRU-14.

Ia menjadikan saingan di DUN Bukit Pasir hanya melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Noriah Mahat dan calon Pas, Kapten (B) Najib Lep.

Difahamkan, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba campur tangan dalam hal itu dengan berunding dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Zainor Adani.

Bagaimanapun, usahanya itu gagal kerana SPR tetap bertegas menolak pencalonan Fizi.

Menurut sumber PH, Fizi telah menjelaskan segala hutangnya sebelum berhasrat bertanding pada PRU ini.

Namun, menurut sumber berkenaan nama Fizi masih lagi kekal di dalam rekod jabatan Insolvensi.

Sementara itu, Muhyiddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pagoh dicalonkan semula atas nama PH dan mahu mempertahankan kerusinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berdepan dengan pencabarnya,  calon BN, Ismail Mohamed dan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz. – MalaysiaGazette