Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memberitahu, beliau telah menulis surat kepada UMNO Bahagian Teluk Kemang untuk berhenti daripada menjadi ahli UMNO dua hari lepas.
Tan Sri Isa Samad

PORT DICKSON – “Saya tidak berkecil hati tidak dicalonkan”. Itu reaksi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Port Dickson Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung namanya digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Penyandang kerusi Parlimen Jempol itu berkata tumpuan beliau kini adalah untuk berkempen bersama jentera parti dan memastikan BN menang di kawasan Parlimen Port Dickson serta BN dapat membentuk kerajaan negeri dan persekutuan.

“Saya telah jadi wakil rakyat selama sembilan penggal sejak 1978 hingga 2013. Sekali saya tidak terpilih tak akan saya nak complain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung (nama asal Port Dickson) di sini, hari ini.

Mohd Isa yang juga ketua UMNO Bahagian Port Dickson turut menasihatkan individu yang tidak terpilih menjadi calon agar terus menyokong perjuangan parti dalam menghadapi persaingan PRU14.

“Masa ini kita nak tengok kesetiaan individu terhadap parti…saya nasihat balik semula dan sokong parti supaya bila parti menang kita pun gembira,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Isa yang juga pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menegaskan BN kawasan Parlimen Port Dickson tidak mempunyai masalah dalaman.

“Tiada masalah dalaman pun kita di sini. Jangan dengar cakap orang. Kita sekarang amat bersatu padu dan ia memberi peluang lebih baik kepada BN untuk menang,” katanya.

BN menampilkan muka baharu, Ketua UMNO Bahagian Jempol yang juga bekas Anggota Dewan Negara Datuk Mohd Salim [email protected] Sharif sebagai calon kerusi Parlimen Jempol menggantikan Mohd Isa dan Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson.

Pada PRU13, Mohd Isa menang dengan majoriti 8, 614 undi menewaskan penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin daripada PAS.

Mengikut daftar pemilih Suku Tahun Keempat 2017 yang diwartakan pada 10 April lepas, Parlimen Jempol mempunyai 72,122 pengundi manakala Parlimen Port Dickson sebanyak 75,212 pengundi.