Home Utama Najib sebenarnya pernah kecewa dengan pengurusan 1MDB

Najib sebenarnya pernah kecewa dengan pengurusan 1MDB

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy disoal siasat selama lima jam oleh Jabatan Jenayah Komersial semalam. 
Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

SHAH ALAM – Sifat tenang yang dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani isu 1MDB banyak membantu usaha ke arah penyelesaian kemelut yang melanda syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, beliau melihat Najib kecewa kerana pihak pengurusan 1MDB tidak memaklumkan pada Lembaga Pengarah dan Kementerian Kewangan banyak perkara seperti dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC).

Pun begitu, katanya, Najib telah bertindak sebagai seorang ‘gentleman’ dan bukan beremosi dalam usaha mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Menurut Arul, dalam beberapa situasi beliau dapat berjumpa dengan Najib yang juga Menteri Kewangan kerana IMDB adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan.

Untuk itu, katanya, selalunya dalam mesyuarat di Kementerian Kewangan, mereka akan bentangkan isu-isu yang berbangkit untuk diselesaikan

” Saya kagum dengan cara beliau (Najib) bekerja. Pertama sekali beliau seorang yang ‘gentleman’. Beliau saya sifatkan sebagai seorang yang ‘cool, calm and collected’.

” Di dalam isu yang kompleks dan sukar, beliau sangat tenang mengendalikannya dan ini menyenangkan tugas serta memberikan keyakinan kepada kami untuk membuat kerja.

” Beliau juga mementingkan penggunaan data dan analisa supaya keputusan yang lebih baik serta menyeluruh dapat dibuat,” kata Arul.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah umum isu-isu semasa GST dan 1MDB di Dataran Mayang, Seksyen 16 di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Arul berkata, Perdana Menteri juga sentiasa memberi ruang untuk perbincangan dan memberi peluang pada sesiapa saja menyampaikan pendapat walaupun ia berlainan dengan pendapatnya.

” Alhamdulillah dengan saya beliau tidak pernah marah-marah tetapi kadang-kadang saya sendiri kalau Tuan lihat tadi, ada juga terbit perasaan geram.

” Saya nampak beliau kadang-kadang geram juga tetapi beliau tahu cara untuk mengendalikan kemarahan beliau,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Arul juga menjelaskan yang Perdana Menteri tidak terlibat dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB.

Katanya, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengerusi lembaga penasihat syarikat itu yang dimiliki kerajaan.

Kata Arul, dalam undang-undang, Najib tidak ada kuasa dan tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana semua keputusan syarikat terletak dalam tangan pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah seperti mana yang termaktub di bawah Akta Syarikat.

” Boleh baca keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang di dalamnya ada lima wakil rakyat pembangkang termasuk Tony Pua sendiri.

” Dalam laporan itu ada perincian mengenai perkara ini dan pihak PAC meminta pihak berkuasa berkenaan melaksanakan siasatan lanjut ke atas pengurusan 1MDB, bukan ke atas Datuk Seri Najib,” jelasnya. – MalaysiaGazette