Home Nasional Pengundi akan ‘ubah’ kerajaan di Pulau Pinang, tunggu dan lihat – Hilmi...

Pengundi akan ‘ubah’ kerajaan di Pulau Pinang, tunggu dan lihat – Hilmi Yahaya

Hilmi Yahaya bertemu dengan peniaga tempatan di Balik Pulau

BALIK PULAU – Slogan ‘Jom Ubah’ yang sentiasa menjadi laungan retorik DAP bagi mengubah Kerajaan Persekutuan sedia ada mungkin ‘terkena’ balik kepada mereka kerana rata-rata pengundi di Pulau Pinang kini sudah ‘muak’.

Rakyat di Pulau Pinang khasnya ternyata ‘bosan’ dan celik dengan segala macam omong kosong DAP yang hanya berminat untuk memiliki kuasa mutlak walaupun terpaksa membelakangkan rakyat sehingga terpaksa membohongi mereka dengan pelbagai janji serta mimpi siang hari selama ini.

Menurut calon P053, Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Hilmi Yahaya, masyarakat di Pulau Pinang terutamanya di Balik Pulau  semakin muak dengan sikap serta kepimpinan yang ditonjolkan oleh kerajaan DAP selama hampir 10 tahun memerintah.

Jelas Hilmi, kehadiran DAP dan sekutu pembangkang lain di Pulau Pinang sebenarnya tidak membawa apa-apa kebaikan atau perubahan besar seperti  laungan mereka sebaliknya dalam tempoh mereka memerintah, rakyat terbeban dengan pelbagai isu.

“Yang rakyat nampak sebenarnya, impian pembangkang yang hanya mahu memiliki kuasa mutlak. Rakyat dipergunakan untuk bukan sahaja mendapat undi malah pemikiran serta idealogi mereka di cemarkan dengan pelbagai fitnah dan tomahan bagi membenci kerajaan yang sebenarnya banyak membantu mereka.

“Selama 10 tahun DAP memerintah, segala macam janji semuanya tidak tertunai. Kononnya tidak dapat merealisasikan sebarang janji-janji itu kerana belum berkuasa memegang tampuk pemerintahan Persekutuan. Tapi pelik, rakyat sudah menangkan mereka dua kali di Pulau Pinang.

“Mengapa tidak tunaikan dulu semua janji itu supaya rakyat secara keseluruhan di negara ini akan nampak keikhlasan mereka? Mengapa sehingga kini, hanya politik kebencian sahaja menjadi keutamaan mereka? Mereka hanya mengajar rakyat bagaimana untuk membenci kerajaan terdahulu tetapi tiada pula mereka bercerita tentang kemajuan yang telah dibawa oleh mereka untuk rakyat.

“Dari sini, rakyat sudah nampak. Mereka sudah celik. Slogan ubah yang menjadi kata-kata hikmat DAP boleh digunakan kembali terhadap mereka. Kerana mereka gagal menjadi kerajaan yang baik, kita pula ubah balik kerajaan negeri di Pulau Pinang,” katanya kepada Malaysia Gazette sebentar tadi.

Hilmi menambah, beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini telah banyak menabur jasa kepada rakyat di Pulau Pinang melalui pelbagai inisiatif sudah memenangi hati rata-rata pengundi yang selama ini begitu agresif mahu ‘mengubah’ kerajaan.

Katanya, kerajaan DAP hanya ‘ambil nama dan pujian’ disebalik setiap inisiatif serta sumbangan kerajaan persekutuan kononnya mereka yang berjasa.

“Kita sebenarnya sudah menangi hati rakyat pelbagai lapisan. Mungkin ada sedikit salah silap pada masa lampau tetapi hakikat dan realitinya, hanya kerajaan BN UMNO mampu membawa perubahan positif kepada rakyat jelata. Malah selama puluhan tahun kita memerintah, nasib rakyat kita terbela dan bukan kucar kacir seperti dilakukan pembangkang.

“Saya beri contoh, kita akan menang besar di Balik Pulau. Bukan kerana apa, kerana segala macam janji yang ditaburkan kepada pengundi kita di sini semuanya tipu belaka. Tiada pembangunan. Kos perumahan semuanya meningkat. Siapa yang percaya, di Balik Pulau harga rumah sudah cecah jutaan ringgit?

“Rata-rata penduduk di sini sebenarnya hidup dalam keadaan serba sederhana. Mereka bekerja sebagai nelayan, petani dan juga di kilang-kilang berhampiran atau sektor awam.

“Bayangkan kini, banyak kilang yang mula di tutup operasinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimana pula dengan nasib para nelayan? Adakah mereka terjaga? Baru-baru ini DAP mahu lakukan pembangunan di kawasan yang menjadi tempat rezeki mereka? Ribuan akan hilang mata pencarian.

“Bagaimana pula janji mereka untuk menjaga bukit- bukau dan hutan yang kaya di kawasan ini? Terjagakah? Atas nama pembangunan dan permodenan, Pulau Pinang sudah mula hilang identitinya sebagai Pulau Mutiara.

“Rakyat nampak semua ini, bukan mudah lagi untuk menipu mereka. Kita akan nampak perubahan drastik kali ini. Sudah pasti BN akan menang balik Balik Pulau dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Teluk Bahang, Pulau Betong dan Bayan Lepas. Ini bukanjnaji kami, ini janji rakyat,” ujarnya.

Hilmi yang juga merupakan Timbalan Menteri Kesihatan pernah menjadi ADUN Teluk Bahang selama tiga penggal sejak awal 1990-an dan pada 1999, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Balik Pulau ketika ini pernah bertanding dalam enam Pilihan Raya Umum (PRU) berikrar untuk mempertahankan kerusi ini demi kebaikan penduduk di kawasan itu.

Pada tahun 2008, kerusi Balik Pulau pernah dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum Hilmi kembali merampasnya pada PRU-13 dengan majoriti undi 1539 lalu. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. rakyat celik sebab kena bubuh ubat dedak pada mata mereka. dapat merintah dua penggal itu bukti rakyat bolih terima . . kalau tidak sepenggal je rakyat akan halau pergi .

Comments are closed.