Cameron Highlands
Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 27 APRIL 2018

CAMERON HIGHLANDS – Ketika pengundi Parlimen Cameron Highlands mendesak penyelesaian segera masalah kesesakan jalan raya di kawasan mereka, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pula dihadap dapat ditambah.

Itu antara dua isu utama yang dibangkitkan pengundi di Parlimen Cameron Highlands, hasil tinjauan MalaysiaGazette pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pekerja swasta, Lalitha Barathy, 30, berkata pelaksanaan sistem laluan sehala di Jalan Tapah-Cameron Highlands menghala ke Kampung Raja sejak akhir tahun lalu menyebabkan kesesakan teruk di laluan utama itu.

Pekerja Swasta, Lalitha Barathy, 30 bercakap semasa temubual mengenai cadangan mengatasi masalah di Parlimen Cameron Highlands sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kuil Brincang Sri Thendayuthabany Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 29 APRIL 2018

“Sebelum ini ketika pelaksanaan laluan dua hala, memang trafik banyak tetapi tidak berlaku kesesakan yang melampau.

“Tetapi kini memang bahaya. Kenderaan juga laju. Bahaya untuk penduduk tempatan melintasi jalan, terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, keadaan semakin teruk pada kunjungan pelancong pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.

Malah, wartawan MalaysiaGazette turut merasai pengalaman bergelut dengan kesesakan jalan raya selama sejam setengah hanya membabitkan laluan sejauh 400 meter.

Keluhan yang sama turut disuarakan pekerja swasta, Rohana Ismail, 60, yang berharap pelaksanaan sistem jalan sehala ditukar atau kajian dibuat bagi mengatasi masalah itu.

“Kami tahu agak sukar untuk jalan raya utama itu diperbesarkan kerana faktor geografi dan muka bumi di sini. Tetapi saya berharap kerajaan dapat melakukan `sesuatu’ bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Pelajar, Yosita Ramachandran, 22, pula meminta kerajaan dilantik mengawal pembukaan tanah secara berleluasa di sekitar Cameron Highlands yang menjejaskan suhu sejuk di Cameron Highlands sejak akhir-akhir ini.

Pelajar, Yosita Ramachandran, 22 bercakap semasa temubual mengenai cadangan mengatasi masalah di Parlimen Cameron Highlands sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kuil Brincang Sri Thendayuthabany Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 29 APRIL 2018

“Saya belajar di Johor sejak tiga ahun lalu. Apabila pulang ke sini, saya terkejut kerana Cameron Highlands tidak lagi sejuk,” katanya yang meminta pemuliharaan dan pemeliharaan hutan dan alam semulajadi di situ dipertingkatkan.

Pada masa sama, pekerja swasta, Shahkila Yon, 33, memuji pembangunan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang sekali gus dapat mengatasi masalah pemilikan rumah di kawasan Parlimen itu.

Pekerja Swasta, Shahkila Yon, 33 bercakap semasa temubual mengenai cadangan mengatasi masalah di Parlimen Cameron Highlands sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kuil Brincang Sri Thendayuthabany Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 29 APRIL 2018

“Saya harap projek PR1MA seperti ini ditambah lagi di Cameron Highlands. Kerana selain kesesakan jalan raya, perumahan juga menjadi masalah besar di sini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast