Calon DAP untuk Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama jentera pilihan raya Pakatan Harapan ketika mengedarkan risalah kempen kepada penduduk Brincang, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 30 APRIL 2018.
Calon DAP untuk Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama jentera pilihan raya Pakatan Harapan ketika mengedarkan risalah kempen kepada penduduk Brincang, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 30 APRIL 2018.

CAMERON HIGHLANDS – Calon DAP, M Manogaran yakin mampu merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila menyifatkan masyarakat Orang Asli bukan lagi ‘bank undi’ Barisan Nasional (BN).

“Kebanyakan masyarakat Orang Asli tidak berpuas hati dengan kerajaan BN dalam isu tanah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada sesi beramah mesra dengan pengundi di Brinchang, dekat sini, hari ini.

Pada saingan kali ini, Manogaran akan berdepan saingan lima penjuru menentang Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh; Mohd Tahir Kasim (Berjasa), Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas) dan B Suresh Kumar dari PSM (Parti Sosialis Malaysia).

Manogaran berkata, beliau yakin saingan yang dihadapinya kini mengulangi skrip lama PRU 2013 yang mana akan memberi kelebihan kepadanya terutama dengan kehadiran Pas.

“Pas kali ini masuk dengan Berjasa. Undi Orang Asli akan pecah tiga kepada PSM, BN dan PKR sebab kita juga sudah banyak melakukan ‘kerja’ di kawasan masyarakat Orang Asli.

“Berjasa dan Pas akan merebut undi Melayu. Pada pandangan saya, ia tidak akan membawa kesan besar kepada kita kerana kita sudah mempunyai sokongan padat daripada pengundi tegar Melayu,” katanya.

Ketika bilangan Melayu di Parlimen Cameron Highlands kali ini meningkat kepada 35 peratus, beliau yakin mampu meraih sehingga 70 peratus undi Melayu selain 80 peratus undi masyarakat Cina yang mencatatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.

Pada masa sama, beliau berkata, perumpamaan agak keras yang dikeluarkan pemimpin tertinggi BN baru-baru ini mengenai ‘memberi peti mayat’ kepada masyarakat India telah mengguris hati mereka dan diyakini bakal menambah undi kepada pihaknya.

“Masyarakat Cina pula memang sokongan mereka kekal untuk PH. Saya harap rakyat Cameron Highlands akan mengikut arus perubahan dari tanah rendah seperti Selangor dan Kuala Lumpur ke tanah tinggi ini.” – MalaysiaGazette