Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

ALOR SETAR – Jentera Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pokok Sena semakin lemah susulan sabotaj dalaman oleh akar umbi yang menolak pencalonan semula Datuk Mahfuz Omar di kawasan tersebut.

Sumber dalaman parti memberitahu MalaysiaGazette, jentera akar umbi Parti Amanah Negara (PAN) di Pokok Sena banyak menutup pondok panas mereka gara-gara tidak berpuas hati dengan Mahfuz yang dipilih semula.

“Hampir 10 lebih pondok panas PH di sini yang sepatutnya dibuka ditutup dan tidak ada jentera parti khususnya daripada Parti Amanah (PAN) yang berkempen di Pokok Sena termasuk kawasan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Pinang dan Bukit Lada.

“Kebanyakan jentera parti ini tidak berpuas hati dengan keputusan mencalonkan semula Mahfuz bertanding disini,” kata sumber tersebut.

Sumber yang sama memberitahu, ahli akar umbi PAN kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan meletak Mahfuz di Pokok Sena walhal mereka sebelum ini yang menggerakkan jentera parti khususnya penyokong PAN yang banyak bertungkus-lumus membina kekuatan semula dikawasan tersebut.

“Mahfuz semasa penubuhan PAN awal-awal dulu tidak bersama kami, kekal dalam Pas dan sehingga kemudiannya keluar parti, alih-alih menyertai PAN.

“Mengapa beliau (Mahfuz) awal-awal lagi bersama kami dan kemudian mengumumkan keputusan keluar parti? Selepas itu dengan mudah diberikan kerusi Pokok Sena kepada beliau?” soal beliau.

Menurut sumber yang juga memegang jawatan dalam PAN di Bukit Pinang mendedahkan, para  penyokong akar umbi PAN juga membantah tindakan tersebut bagaimanapun keengganan pucuk pimpinan mendengar suara mereka menyebabkan mereka enggan membantu jentera PH.

“Akar umbi kecewa dan ada juga yang marah, macam disini mereka tidak turun membantu jentera parti khususnya di pondok panas PH… ini boleh dikira sebagai sabotaj dalaman yang sedang berlaku disini,” terang beliau.

Sementara itu, tinjauan di dua kawasan DUN yang berada dalam Parlimen Pokok Sena mendapati, jumlah pondok panas PAN lebih kecil jika dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Penyandang kerusi Pokok Sena, Mahfuz akan dicabar calon Pas iaitu bekas pemain bola sepak Kedah, Radhi Mat Din dan calon BN, Datuk Said Ali Syed Rastan. – MalaysiaGazette

PAN umum 13 calon di Kedah, Mahfuz pertahan Pokok Sena