Home Ekonomi Standard Chartered mahu kurangkan jurang gaji

Standard Chartered mahu kurangkan jurang gaji

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Standard Chartered Bank mahu mengurangkan jurang gaji sebagai komitmennya dalam kesamarataan jantina.

Untuk mencapai sasaran itu, Standard Chartered Bank telah melancarkan Rangkaian Wanita Global serta komitmen polisi-polisi dan proses yang adil termasuk Piagam Keadilan Gaji.

Dalam Laporan Jurang Gaji Jantina, bank itu telah berikrar untuk mempunyai 30 peratus wakil wanita dalam kepimpinan pengurusan menjelang tahun 2020.

Piagam pertama seumpamanya itu menetapkan prinsip berkenaan dalam syarat ganjaran dan keputusan yang dibuat oleh bank tersebut.

Salah satu prinsipnya ialah komitmen berterusan untuk memberi ganjaran kepada kakitangan dengan cara bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi, termasuk jantina.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Abrar Anwar  (gambar) berkata, bank itu komited melaksanakan budaya menghargai kakitangan supaya mereka boleh memberi sumbangan terbaik.

“Bayaran adil perlu difahami bahawa tiada diskriminasi dalam pengiraan gaji. Visi adalah mencipta kemasukan bakat dan individu yang dihargai dan dihormati serta setiap orang diberi peluang untuk mencipta kecemerlangan dan berkembang,” katanya di sini.

Katanya, buat masa ini 60 peratus kakitangannya di Malaysia adalah wanita dan jantina itu mewakili 42 peratus dalam jawatankuasa eksekutif. – MalaysiaGazette