Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo

TELUK INTAN – Memasuki hari ketiga berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), DAP masih menggunakan fitnah lama mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai bahan berkempen.

Pemimpinnya seperti Gobind Singh Deo dilihat masih menjaja isu ini pada setiap kempen yang dihadiri beliau untuk meraih undi.

“Kita ada banyak wakil di Parlimen. Kami bawa ke Parlimen tanya mengenai 1MDB, tetapi Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) pun dia tidak jawab, dia jawab masih siasat.

“Parlimen sudah bubar pun masih dalam siasatan. Singapura sudah habis siasat, Malaysia belum siasat lagi,” katanya menghadiri siri ceramah di Kuil Bu Tong Sun Hean Bu Keong di Teluk Intan.

Gobind antara salah seorang pemimpin DAP yang turun ke Teluk Intan bagi berkempen untuk calon parti itu, Nga Kor Ming yang bertukar kerusi dari Taiping ke Teluk Intan pada PRU14.

Isu 1MDB sering menjadi modal pembangkang di Dewan Rakyat biarpun perkara itu telah ditolak oleh Pandikar untuk dibahaskan pada Mac lalu.

Gobind berkata, beliau sebagai Ahli Parlimen yang dilantik berhak untuk mengetengahkan soalan berhubung 1MDB dengan alasan rakyat perlu tahu mengenai isu itu.

“Kalau kita ada Speaker yang semacam ini, soalan yang penting dia tidak beri kebenaran untuk kita tanya, bagaimana kita nak buat?

“Saya dengan Tony Pua, Nga Kor Ming dan Rafizi Ramli sering bawa perkara ini ke Dewan Rakyat,” katanya.

PH sebelum ini sering menggunakan isu 1MDB bagi melemparkan pembohongan dan fitnah kepada rakyat.

Antaranya ialah dakwaan kerajaan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan syarikat 1MDB dngan bayaran AS$6 bilion. – MalaysiaGazette