SHAH ALAM – Calon muda Barisan Nasional (BN), Ahmad Muadzam Shah Yaakop tidak kekok untuk mengajak bekas pemimpin yang lebih tua daripadanya turun membantu beliau berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Beliau akan bertanding tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Shah Alam melawan penyandangnya, Rodziah Ismail (PKR) dan Abdul Halim Omar (Pas).
Sikapnya yang merendah diri itu dilihat disenangi golongan dewasa, yang turut berjanji akan bekerja kuat membantunya memenangi kerusi itu, sekali gus menukar tampuk pemerintahan Pakatan Harapan (PH) kepada BN selepas 9 Mei ini.
Pada majlis makan malam bersama Majlis Permuafakatan Parlimen Shah Alam dan Veteran UMNO, Ahmad Muadzam melahirkan rasa terharunya kerana dapat bersama golongan veteran, yang suatu ketika dahulu berjuang bermati-matian mempertahankan parti demi rakyat, tanah air dan agama.
“Satu penghargaan bagi saya dapat bersama dengan mereka yang terlalu besar jasanya pada negara.
“Hanya Allah swt dapat membalas pengorbanan mereka kerana tanpa pengorbanan mereka membela bangsa dan mempertahankan negara sudah pasti kita tidak merasai kelebihan dan keistimewaan yang kita ada hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di Shah Alam semalam.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada veteran UMNO yang dianggapnya sebagai ayah dan ibunya kerana sudi memberikan nasihat, sokongan dan kata-kata semangat kepadanya untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan parti.
“Mohon doakan saya berjaya dan mampu menjadi pewaris negara yang hebat dan mampu meneruskan agenda perjuangan negara,” katanya sebak. – MalaysiaGazette
















