Isteri kepada bekas ADUN DAP, S. Pushpaneela
S. Pushpaneela

KUALA LUMPUR – DAP yang lantang mengatakan mereka mengungguli kebajikan tanpa mengira kaum sebenarnya parti chauvinis kerana rata-rata yang menonjol hanya pemimpin dalam kalangan masyarakat Cina.

Hanya pemimpin tertentu Melayu dan India diberi jawatan dan kedudukan untuk terus mengaburi agenda serta impian parti itu untuk terus kekal berkuasa di sebuah negara yang diduduki masyarakat majmuk.

Perkara ini terbukti apabila S. Pushpaneela yang merupakan isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan meluahkan rasa kecewa dan marah kerana keseluruhan keluarganya dipergunakan oleh DAP demi memancing undi ketika Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Menurut Pushpaneela, ketika itu, walaupun anak-anaknya kecil namun mereka juga menjadi alat DAP untuk meraih simpati daripada orang ramai terutamanya dalam kalangan masyarakat India untuk memastikan kerusi itu milik parti tersebut.

“Ketika itu mereka terutamanya pemimpin utama seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok dan ramai lagi begitu baik dan ‘manis’ dengan kami. Berkobar-kobar ketika memberi ucapan, kononnya penahanan suami saya, Manoharan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak berperikemanusian.

“Saya menjadi tulang belakang bagi memastikan kemenangan kerusi suami saya walaupun beliau sudah dalam penahanan ISA. DAP menggunakan nama dan gambar beliau untuk memastikan kerusi itu kita menang.

“Sudah tentu undi yang diberikan juga bukan untuk DAP sebaliknya untuk suami dan saya sekeluarga. Ketika itu saya turun padang, berceramah. Saya dibawa ke hulu hilir oleh DAP untuk memastikan kemenangan besar. Selepas menang, saya ambil alih tanggungjawab sebagai ADUN dan bertungkus lumus dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat selain daripada menjaga nama baik DAP.

“Apa yang kami dapat selepas itu? Selepas kepulangan suami saya, langsung tidak dipedulikan. Malah nama beliau terus digugurkan pada PRU13. Bagaimanapun, kami terus menjalankan tanggungjawab kami kepada parti dan masyarakat dengan telus tetapi apa yang kami dapat?,” luahnya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Pushpaneela, sejak keluar dari ISA sehingga kini, Manoharan dan dirinya terabai dan terpinggir daripada parti itu, malah langsung tidak dipandang oleh DAP sehingga kini.

“Suami saya pengikut setia mendiang Karpal Singh sejak dulu lagi, beliau banyak belajar dari beliau. Tidak cukup dengan itu, saya juga terikut-ikut cara dan prinsip serta fahaman politik beliau kerana percaya DAP adalah parti untuk semua. Mereka akan menyumbang untuk kelestarian semua.

“Tetapi sangkaan saya meleset. Keseluruhan keluarga saya hanya dipergunakan untuk memastikan kerusi itu milik DAP. Habis madu sepah dibuang. Sehingga hari ini, panggilan serta mesej yang dihantar oleh kami tidak akan dilayan.

“Saya tidak meluahkan semua ini kerana tidak berjaya menjadi calon walaupun dari awal kami ada melobi untuk kerusi. Kami mahu berkdhimat dan saya yakin kami punya peluang cerah untuk menang juga kerana penyokong dan pengikut kami yang setia bersama.

“Tetapi apa yang lebih mengecewakan, cara kami di layan. Adakah kerana kami India dan pandangan serta suara kami kecil dalam parti yang di dominasi oleh rata-rata Cina? Adakah Melayu dan India hanya akan dipergunakan untuk memberi gambaran bahawa parti ini tidak hanya mementingkan satu kaum sahaja. Saya rasa telah diperdayakan,” katanya.

Pushpaneela turut menuding jari kepada beberapa pemimpin lain dalam parti itu yang kini seolah-olah tidak relevan walaupun pengorbanan mereka besar dalam menaikkan imej serta kepentingan mereka pada rakyat.

“Tengok nasib Dr. Tan Seng Giaw. Adakah beliau perlu diperlakukan sebegini buruk? Besar sungguh jasa Seng Giaw selama ini tetapi hanya kerana beliau bercakap benar, anda perkotak katikkan beliau sebegini rupa.

“Bagaimana pula dengan Tunku Aziz Tunku Ibrahim? Adakah kerana beliau tidak senada dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang? Tidakkah beliau berjasa ketika dalam parti.

“Datuk Zaid Ibrahim yang lepaskan jawatan Menteri demi protesnya untuk penahanan Teresa Kok dalam ISA? Tindakan beliau dipuji tetapi tidak pula diberikan sebarang jawatan atau kerusi ketika PRU.

“Calon-calon berkaliber dan mengikut prinsip CAT seperti laungan DAP tidak diberikan apa-apa, sebaliknya calon-calon bermasalah dengan rasuah, kaki judi, kaki minum dan bermacam lagi masalah pula dengan senang-senang diberikan tempat.

“Apa sebenarnya hala tuju dalam parti ini? Saya cukup keliru dan sedih dengan semua ini. Adakah saya telah membuang masa puluhan tahun untuk parti demi sesuatu yang bohong selama ini. Pemimpin tertinggi dalam parti bijak memperdaya semata-mata kuasa dan bukan untuk rakyat,” tegasnya.

Pada PRU12, Manoharan diberi peluang bertanding di kerusi DUN majoriti pengundi Cina di Kota Alam Shah dan menang walaupun ketika itu beliau ditahan di bawah ISA kerana dituduh mendalangi perhimpunan haram dan mencetuskan ketegangan kaum.

Manoharan adalah salah seorang daripada lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan ISA; empat yang lain adalah P. Uthayakumar, R. Kengadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.

Walau bagaimanapun selepas Manoharan dibebaskan daripada tahanan ISA, DAP telah menggugurkan namanya daripada kekal bertanding di DUN Kota Alam Shah.

DAP kemudiannya memberi DUN itu kepada V. Ganabatirau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.