Johan Abdul Aziz
Johan Abdul Aziz

KAJANG – Peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) cerah dalam PRU-14 ini, kata Datuk Johan Abdul Aziz.

Bagaimanapun, calon BN Dewan Undangan Negeri Semenyih itu mengingatkan jentera parti jangan terlalu yakin sehingga leka dalam memantapkan gerak kerja dan sentiasa fokus.

Beliau yakin negeri yang dilanda pelbagai krisis dibawah cengkaman PH selama 10 tahun lalu akan kembali kepada BN kali ini.

“Cuma kita dengan kempen enam tujuh hari ini perlu fokus dan bersiap siaga dengan jentera dan tugasan yang diberikan.

“Peluang miliki Selangor ada, tetapi janganlah terlampau yakin dan jangan peduli dengan kata-kata kononnya kita berpeluang tinggi takluk semula dan sebagainya kerana ia akan membuatkan kita leka.

“Yang penting fokus dengan tugasan yang diberikan dan kita yakin mengejutkan PKR kali ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kajang hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Johan  mengakui terdapat beberapa kerusi DUN yang agak mencabar dan sukar ditembusi tetapi dengan gerak kerja yang efisien segalanya mampu diubah

“Majoriti sudah kurang dan tidak ada pertembungan bersemuka, kebanyakan kerusi menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru, maka kita ada kelebihan disitu dan apa pun boleh berlaku saat-saat akhir nanti,” tegas beliau.

Dalam pada itu beliau turut optimis dirinya dapat membantu BN mempertahankan Semenyih yang dimenangi pada PRU-13.

“Saya optimis pertahankan kerusi Semenyih kerana jentera saya bersiap sedia awal sejak dilancarkan sebulan lalu. Kerjasama dari komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan serta parti mesra BN sangat memberangsangkan yang mana mereka sudah tahu apa yang perlu ditekankan semasa berkempen, dipujuk dan dirayu kepada pengundi termasuk di atas pagar.

“Kita sudah bersiap sedia menangkis serangan mengejut minit -minit akhir pembangkang yang akan tampil dengan tohmahan dan janji langit bintang,” tegas beliau. – MalaysiaGazette