Ops Rentap
Ketua Polis KL, Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis telah menangkap seramai 62 orang suspekĀ  yang sangat dikehendaki bagi pelbagai kesalahan kes dalam Ops Rentap Khas 2018 di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam kenyataan hari ini berkata, operasi itu dijalankan pada 4 hingga 17 Aprill lalu sebagai membanteras kegiatan ragut dan samun jalanan di ibu negara.

“Sepanjang tempoh operasi berkenaan sebanyak 1,306 motosikal dan 198 kereta telah diperiksa. Dalam operasi sama seramai 2,699 individu telah diperiksa dan hasilnya 62 suspek sangat dikehendaki dalam pelbagai kesalahan rekod lampau telah dicekup.

“Malah operasi berkenaan juga berjaya membanteras lima tangkapan kes ragut di pusat bandaraya itu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Tambah Mazlan, kejadian kes ragut sepanjang Ops Rentap dan tempoh dua minggu sebelum telah menyaksikan penurunan kes sebanyak 23 kes ragut.

Beliau menegaskan, polis akan terus menguatkuasakan operasi berkenaan untuk memerangi jenayah ragut di ibu kota.

“Orang ramai terutama wanita dan warga emas agar tidak memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah.

“Mereka juga disarankan supaya tidak berjalan seorang diri supaya tidak menjadi mangsa penjenayah jalanan,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau sebarang kegiatan ragut di sekitar ibu kota boleh disalurkan kepada Inspektor Khairul Azmani Mohd. Zain (Pegawai Tema Rentap D4 IPK KL) di talian 019 6677653 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460585,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette